Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 11 April (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 yang julung kali diadakan di Labuan pada 26 hingga 30 Julai, dijangka dapat merangsang ekonomi tempatan dengan ketara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata festival itu dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung, sekali gus memberi manfaat kepada pelbagai sektor tempatan termasuk hospitaliti, pengangkutan, tempat makan, dan inap desa.
“Kami melihat acara ini berpotensi besar untuk memperkukuh ekonomi tempatan kerana memberi manfaat secara langsung kepada penduduk dan perniagaan tempatan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis prapelancaran festival itu di taman rekreasi Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan hari ini.
Dr Zaliha berkata festival itu bukan sahaja akan menampilkan keindahan flora tropika dan landskap tempatan, tetapi juga mempromosikan kekayaan warisan etnik dan budaya Borneo.
“Labuan memerlukan sektor tambahan dan alternatif kepada sektor-sektor sedia ada seperti perkhidmatan kewangan serta minyak dan gas. Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita kedua tertinggi di Malaysia, Labuan memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata tumpuan kepada sektor pelancongan adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk merangsang kesan pengganda ekonomi merentas pelbagai industri.
“Festival ini akan merangsang pertumbuhan dalam sektor hospitaliti, pengangkutan, makanan dan minuman, serta industri kreatif, sekali gus meningkatkan kecekapan kos melalui skala ekonomi,” jelasnya.
“Acara seperti ini menyumbang secara positif kepada keseluruhan rantaian nilai ekonomi tempatan. Matlamat kami bukan sekadar menarik pelawat, tetapi memastikan penduduk Labuan menerima manfaat secara langsung,” katanya sambil menambah festival itu selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Dr Zaliha turut berkongsi data pelancongan yang memberangsangkan, dengan memberitahu Labuan mencatatkan 1.1 juta pelawat pada 2024, peningkatan sebanyak 15.7 peratus berbanding kira-kira 950,000 pelawat pada 2023.
“Pertumbuhan ini menunjukkan bahawa Labuan berada di landasan yang betul untuk menjadi tumpuan pelancong,” katanya.
“Kami merancang untuk menjadikan BFF sebagai acara penting dwitahunan untuk Labuan, sama seperti Royal Floria Putrajaya. Bagaimanapun, pelaksanaan yang berjaya untuk edisi pertama ini akan menjadi sangat penting,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial