Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- ASEAN berhasrat untuk menubuhkan semula Pengaturan Swap ASEAN (ASA) bagi meningkatkan jaringan keselamatan dan daya tahan kewangan di rantau ini, menurut kenyataan bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12.
Menurutnya blok serantau itu menggalakkan kerjasama selanjutnya bagi mengembangkan akses kewangan dan meningkatkan pengurusan mudah tunai bagi menyokong perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN menerusi Garis Panduan Operasi Model untuk Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan disahkan di ASEAN.
“Kami mengesahkan komitmen kami terhadap kestabilan kewangan dan meningkatkan integrasi serantau di samping mengalu-alukan sokongan United Kingdom bagi Kajian Akhir Penggal Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN 2025 sektor kewangan
“Ketika kita dalam peralihan menuju Pelan Strategik ASEAN 2026-2030, kita digalakkan untuk membina kerjasama dan sinergi sedia ada di samping memajukan sinergi yang inovatif dan berpandangan ke hadapan bagi menyokong realisasi Visi Komuniti ASEAN 2045,” katanya.
Menurut kenyataan bersama itu, dari segi percukaian, ASEAN mendapat sokongan daripada usaha berterusan untuk memperteguh kerjasama melalui penyiapan dan penambahbaikan triti cukai dua hala dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.
“Kita perlu berkongsi pengetahuan mengenai pelaksanaan hakisan asas dan peralihan keuntungan (BEPS) dua tonggak dan meningkatkan perbincangan mengenai inisiatif ketelusan cukai bagi memperkukuh kerjasama antara negara anggota.
“Cadangan Malaysia bagi rangka kerja Nombor Pengenalan Cukai (TIN) turut menambah baik pertukaran maklumat di bawah standard pelaporan lazim, memastikan ketepatan yang lebih tinggi dalam pematuhan cukai di seluruh ASEAN,” katanya.
Menurut blok serantau itu, mereka komited untuk mengukuhkan pengawasan pembayaran rentas sempadan, memperluas pautan pembayaran segera dan menambah baik keselamatan siber untuk mengurangkan risiko berkaitan transaksi digital.
“Bagi menggalakkan keselamatan dalam sistem kewangan, kami menekankan kepentingan memerangi jenayah kewangan, fraud dan scam melalui usaha serantau yang diselaraskan, mekanisme perkongsian maklumat yang dipertingkatkan dan sumbangan kepada wacana global.
“Dalam hal ini, pengawal selia kewangan dan bank di ASEAN bersetuju untuk bekerjasama ke arah membangunkan ekosistem serantau bagi memerangi fraud dan scam, mengintegrasikan kedua-dua strategi pengurangan sebelum dan selepas scam dalam menangani ancaman yang meluas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial