Oleh Nor Baizura Basri & Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Negara anggota ASEAN memberi tumpuan untuk menghapuskan gangguan agar menjadi lebih cekap untuk membuka ruang bagi rundingan dengan Washington yang menyuarakan kebimbangan terhadap halangan tarif dan bukan tarif.
Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati yang mengalu-alukan penangguhan sementara tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) berkata banyak negara anggota mengakui bahawa mereka masih mempunyai ruang untuk menambah baik dasar perdagangan dan dasar pelaburan mereka.
“Jadi kita harap penangguhan selama 90 hari ini akan memberi peluang yang sangat berharga antara AS dan semua negara supaya sebagai ekonomi terbesar di dunia, AS akan melihat negara lain berpotensi untuk hubungan yang saling menguntungkan,” katanya yang juga merupakan penggubal dasar dan pakar ekonomi berpengalaman.
Beliau berkata demikian kepada Bernama menerusi temu bual di luar Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12, di sini, hari ini.
Sri Mulyani berkata kesan riak ke atas saham global susulan pengumuman tarif Presiden AS Donald Trump pada 2 April itu berpunca daripada kebimbangan dan ketidakpastian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan blok 10 anggota itu, sebagai satu perkumpulan dan individu, mempunyai mekanisme yang baik untuk bertindak balas terhadap kejutan seperti ini, berdasarkan pengalaman mereka menangani krisis seperti krisis kewangan Asia, krisis ekonomi global dan Covid-19.
“Apa yang paling penting, memberi perhatian serius terhadap asas. Jadi, dasar makroekonomi, yang memerlukan reformasi fiskal, monetari dan juga pembaharuan struktur, perlu digabungkan agar kita (ASEAN) dapat mengukuhkan asas ekonomi," katanya.
Menurut laporan media, Sri Mulyani, yang mengetuai delegasi Indonesia ke AFMGM, dijangka berangkat ke Washington minggu depan bersama pegawai tinggi ekonomi yang lain untuk berunding mengenai tarif ke atas negara itu.
Selain Indonesia, Malaysia juga merupakan antara lebih 75 negara yang diberi penangguhan 90 hari daripada tarikh akhir berasingan yang akan menyebabkan mereka tertakluk kepada tarif melebihi garis dasar 10 peratus.
Selain itu, Sri Mulyani turut memuji kepimpinan Malaysia, menyifatkan tema ASEAN tahun ini iaitu keterangkuman dan kemampanan sangat bertepatan dengan perkembangan semasa.
“Mempunyai kepimpinan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan dalam menyelaras, berkomunikasi dan melihat isu ini lebih sebagai peluang untuk kita dapat bekerjasama sebagai satu kumpulan.
"Jadi terdapat banyak potensi, dan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia adalah sangat kritikal dalam usaha untuk memperkukuh semua kerjasama ini memandangkann hubungan perdagangan sesama ASEAN hanya menyumbang 22 peratus daripada jumlah keluaran dalam negara kasar,” katanya.
Bekas ketua Bank Dunia itu menegaskan bahawa banyak faktor pelengkap antara negara anggota masih perlu ditambah babik supaya dalam kalangan ahli, mereka tidak melihat satu sama lain sebagai pesaing.
"Kita juga melihat dengan persekitaran ini, terutamanya dasar AS, banyak potensi lencongan perdagangan dari AS, terutamanya dengan rantau lain, contohnya, seperti negara Eropah, malah India dalam kes ini, dan Australia, New Zealand dan negara lain ASEAN, seperti ASEAN+3," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial