Oleh M.Saraswathi
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Di saat landskap ekonomi global berubah secara mendadak, ASEAN berada di persimpangan kritikal dan bersedia untuk mengharungi cabaran mendatang, kata Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Namun, katanya, kejayaan rantau ini bergantung kepada kekuatan keazaman politik dan usaha yang diselaraskan oleh perkumpulan itu.
"Tidak seperti sebelum ini, ASEAN kini berada pada kedudukan yang kukuh.
"Usaha bersepadu selama dua dekad telah mengukuhkan blok 10 anggota ini dengan integrasi ekonomi dan kewangan serantau yang dipertingkatkan, selain rangkaian yang lebih teguh,” katanya pada sesi Dialog Tokoh-Tokoh Terkemuka: ‘Integrasi Kewangan ASEAN dalam Dunia Multipolar,” di sini, hari ini.
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata asas yang kukuh ini membolehkan ASEAN memanfaatkan kelebihan perbandingan kolektifnya untuk menangani cabaran secara berkesan seperti kapasiti berlebihan, kehilangan pekerjaan, dan gangguan rantaian bekalan akibat daripada kejutan global.
Menurutnya, kebergantungan tinggi terhadap teknologi baharu dan Kepintaran Buatan (AI) juga diperlukan selain bakat terbaik dimiliki ASEAN dan Asia yang perlu digerakkan untuk membentuk transformasi yang diselaraskan di rantau ini.
"Walaupun visi ini berada dalam jangkauan kita, namun ia memerlukan keazaman politik, kapasiti institusi dan kerjasama awam-swasta yang berterusan. Ia memerlukan pelaburan dalam infrastruktur digital, rangka kerja pengawalseliaan yang diselaraskan dan mekanisme yang menyokong rangkuman kewangan," katanya.
Komitmen berterusan terhadap perpaduan serantau merupakan suatu yang penting bagi membina wilayah yang lebih kukuh, selamat dan makmur, kata Zeti yang meneraju BNM selama 16 tahun dari tahun 2000 hingga 2016.
ASEAN, katanya, juga perlu membentuk dan bukan hanya menyesuaikan diri dengan kerangka dan persekitaran kewangan global yang berkembang.
"Dunia hari ini dicirikan oleh pelbagai pengaruh ekonomi, dan ASEAN perlu mengemudi landskap yang berubah ini dengan yakin dan tangkas untuk menyesuaikan diri.
“Sambil mengiktiraf realiti, rantau ini juga perlu membentuk secara aktif norma kewangan dan perdagangan antarabangsa untuk memastikan perspektif dan keutamaan ASEAN dicerminkan dalam resolusi global,” katanya.
Menerusinya ucapannya, Zeti turut memetik Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) sebagai ciri kerjasama serantau yang mempamerkan perpaduan serantau dan pergantungan kewangan sendiri - yang menunjukkan rantau ini mempunyai kapasiti dan keazaman politik untuk bersatu dan bekerjasama dalam tempoh sukar.
Beliau berkata CMIM telah mengukuhkan lagi jaringan keselamatan kewangan rantau ini untuk menyediakan sokongan kecairan yang penting dalam tempoh bergelora dan keselamatan semasa tempoh tenang.
"Mekanisme ini memperkukuh keupayaan kolektif untuk bertindak balas dengan pantas kepada kejutan luaran dan melindungi kestabilan makroekonomi dan kewangan kita,” katanya.
CMIM melibatkan 10 negara anggota ASEAN serta China, Jepun, dan Korea Selatan, membentuk jaringan keselamatan kewangan serantau ASEAN+3.
Inisiatif itu ditubuhkan pada Mei 2000 dikenali sebagai Chiang Mai Initiative (CMI) sebagai tindak balas terhadap Krisis Kewangan Asia 1997/98. Ia kemudiannya ditambah baik menjadi CMIM pada 2010 dengan jumlah saiz pembiayaan meningkat kepada US$240 bilion daripada US$120 bilion sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial