Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- ASEAN secara kolektif sedang mengharungi antara tempoh paling sukar dalam sejarah semasa, merangkumi tarif perdagangan dan ketegangan geopolitik sehinggalah cabaran iklim serta kepesatan kemajuan teknologi dan ketangkasan ekonomi di negara masing-masing.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata blok ini sedang menghadapinya dalam keadaan sistem antarabangsa berasaskan peraturan yang semakin dicabar.
Beliau berkata kesalingbergantungan dan kesalinghubungan ekonomi, yang sebelum ini menjadi asas dan piawaian emas ekonomi dan kemakmuran antarabangsa, kini secara paradoksnya menjadi sumber kelemahan strategik.
“Apabila negara-negara lebih cenderung kepada dalaman dan mengamalkan pendirian lebih nasionalis, sebuah ekonomi kecil dan terbuka seperti banyak negara di ASEAN, yang sangat bersepadu dengan ekonomi global, sangat terdedah (kepada risiko).
“Tiada senario dengan mana-mana daripada kita dapat keluar tanpa terjejas. Ini semua bergantung kepada mana-mana antara kita yang akan terkesan dan yang boleh mengelakkannya,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Gala sempena Kepengerusian Malaysia Trek Kewangan ASEAN di sini, hari ini.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Abdul Rasheed berkata awal minggu ini, blok ASEAN telah menyaksikan betapa cepatnya keputusan dasar luar/tarif boleh memberikan kesan berpanjangan.
Bagaimanapun, ia bukan satu mesej putus asa, sebaliknya satu gesaan untuk penyelesaian kerana dalam keadaan ketidaktentuan ini, negara anggota ASEAN mempunyai kelebihan iaitu mempunyai antara satu sama lain, katanya.
“Perkongsian yang berkekalan dan usaha bersama yang kita bina selama bertahun-tahun telah membentuk satu rantau yang bersatu dan berdaya tahan, bersedia untuk bangkit menghadapi apa jua cabaran,” katanya.
Abdul Rasheed menekankan bahawa pembaharuan struktur, melonjakkan perdagangan dan pelaburan dalam rantau ini serta kerjasama sektor kewangan yang diperkukuhkan selama ini telah meneguhkan kedudukan rantau ini untuk menghadapi kejutan luaran.
“Kita mungkin tidak dapat mengawal persekitaran luar tetapi kita boleh membentuk respons kolektif kita terhadapnya.
“Saya berharap menjelang akhir perbincangan kita esok, kita akan pulang dengan pandangan, idea dan keyakinan baharu untuk melakukan perkara yang diperlukan, bukan sahaja untuk ekonomi kita malah juga untuk rantau ini secara keseluruhannya,” katanya.
Makan malam gala itu adalah sebahagian daripada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan yang bermula Isnin lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial