Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Langkah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Portal Fraud Kebangsaan membuahkan tanda-tanda awal kejayaan dalam memerangi peningkatan kes penipuan yang dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata pihaknya telah mendapati beberapa penambahbaikan serta penurunan kes yang dilaporkan, susulan peningkatan kesedaran orang ramai mengenai risiko yang berkaitan dengan penipuan dalam talian.
Usaha itu, yang bukan sahaja melibatkan bank pusat malah juga bank komersial dan pihak berkuasa berkaitan, adalah sebahagian daripada tindak balas yang semakin bertambah dan terselaras dengan landskap penipuan yang semakin sofistikated, katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Kesejahteraan Kewangan Inklusif: Peranan Keupayaan Kewangan dan Kewangan Sosial’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Acara itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan.
Adnan Zaylani berkata penipuan dalam talian menjadi kebimbangan yang semakin meningkat.
“Apabila kita menjalinkan kerjasama serantau, malah dengan perniagaan, mereka mempunyai kisah mengenai ditipu sehingga ratusan ribu ringgit.
“Maksud saya, mereka ini ialah perniagaan kecil dan golongan yang mudah terjejas, seperti pesara khususnya,” katanya.
Beliau berkata BNM telah melakukan banyak usaha termasuk kempen media untuk membendung penipuan terutamanya semasa musim perayaan apabila ramai yang cenderung kehilangan kawalan dalam berbelanja.
“Kesedaran (telah meningkat) bahawa kita semua agak berisiko untuk mengklik pada sesuatu yang tidak sepatutnya dalam emel dan mesej WhatsApp atau data kita boleh dicuri atau IP kita digunakan,” katanya.
Bagi mengikuti atau seiring dengan kaedah yang digunakan oleh penipu, yang sentiasa berubah-ubah, Adnan Zaylani berkata pihak berkuasa sentiasa mengemas kini strategi masing-masing, di samping menekankan kerjasama orang ramai.
Beliau berkata kewaspadaan berterusan adalah penting dalam mengekang aktiviti penipuan.
NSRC, ditubuhkan pada Oktober 2022, berfungsi sebagai pusat panggilan respons pantas dan pusat operasi koordinasi untuk memerangi penipuan kewangan dalam talian, dengan kepakaran dalam mengesan dana yang dipindahkan, termasuk kes yang melibatkan penyamaran pegawai NSRC untuk menipu mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial