Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing akan berterusan sehingga terdapat kejelasan mengenai hala tuju dasar khususnya mengenai tempoh tarif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
“Saya boleh katakan bahawa ringgit dan mata wang lain di rantau ini adalah berdaya tahan disokong oleh asas yang kukuh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan ekonomi kukuh dan kerajaan komited terhadap pembaharuan struktur, kata Abdul Rasheed kepada pemberita pada hari terakhir Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan hari ini.
Abdul Rasheed berkata semua faktor berkenaan memberikan sokongan kepada ringgit.
Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US pada Khamis, mengakhiri penurunan tiga hari berturut-turut berikutan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menangguhkan pelaksanaan tarif kepada semua negara bagi tempoh 90 hari kecuali China.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4670/4730 berbanding dolar US, menandakan kenaikan 0.58 peratus daripada 4.4935/4990 ketika ditutup pada Rabu.
Dalam pada itu, BNM akan terus menyelaraskan langkah termasuk menggalakkan pengeksport tempatan untuk membawa balik hasil mereka kerana ia akan memberikan sokongan kepada ringgit.
Abdul Rasheed berkata demikian ketika ditanya bagaimana kejutan tarif AS akan menjejaskan prestasi ringgit.
Sementara itu, beliau mengulangi bahawa unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia akan dinilai selepas tahap pelaksanaan tarif AS disahkan.
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang dalam julat 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2025 dengan unjuran rasmi kerajaan berkata cabaran luaran berpotensi berlaku akibat ketegangan perdagangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial