Oleh Siti Baaqiah Mamat
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Dalam usaha memperkukuh kerjasama ASEAN, Malaysia komited untuk membangunkan kawasan sempadannya seperti utara Semenanjung dengan Thailand serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi bagi manfaat rakyat di kedua-dua belah sempadan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan dan kerjasama sedemikian dapat membantu blok yang terdiri daripada 10 negara anggota itu dan jumlah penduduknya mencecah hampir 700 juta orang.
Beliau merujuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura sebagai antara pembangunan sedemikian.
“Walaupun ini bukan penyelesaian segera, ia tetap satu langkah penting,” kata beliau dalam ucapan pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk: “ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum” hari ini.
Persidangan itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
SEZ ialah kawasan khusus dalam negara yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk menerima insentif perniagaan dan cukai khas. SEZ berperanan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan biasanya merangkumi pelbagai insentif cukai, faedah kastam dan peluang pelaburan untuk bakal pelabur.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata daya tahan ASEAN turut memerlukan pelaburan dalam infrastruktur yang boleh mendepani cabaran dari segi literal dan kewangan.
“Negara-negara jiran kita di Asia Tenggara amat terdedah kepada bencana alam. Selain itu, kesan perubahan iklim memberi impak yang serius.
“Keupayaan kita untuk menguruskan cuaca buruk, melindungi infrastruktur penting dan komuniti yang mudah terjejas perlu dipertingkatkan dengan ketara,” kata beliau.
Beliau berkata pertumbuhan hijau bukan lagi sekadar isu kelestarian alam sekitar tetapi menjadi keperluan ekonomi yang strategik berikutan teknologi seperti pemerangkapan karbon, model pengeluaran kitaran dan inovasi rendah pelepasan karbon bukan eksperimen sampingan.
Malah, beliau berkata ia bersedia untuk mentakrifkan landskap industri bagi dekad akan datang.
Perdana Menteri turut melancarkan Panduan Pendedahan ESG Dipermudah ASEAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hari ini.
Beliau berkata PKS membentuk sebahagian besar asas pekerjaan tetapi sering menjadi yang paling terdedah kepada kejutan dan paling kurang bersedia untuk menghadapi cabaran.
“Mematuhi piawaian kemampanan global menjadi cabaran besar kepada syarikat yang terdiri daripada, katakanlah, lima pekerja. Atas alasan itu, Malaysia dengan sokongan rakan-rakan kami, melancarkan panduan yang dipermudahkan,” kata beliau.
Beliau percaya ia merupakan instrumen yang praktikal untuk membantu perniagaan kecil mengambil langkah pertama mereka ke arah operasi yang lebih mampan dan telus.
Anwar berkata inisiatif yang jelas dan kukuh seperti ini akan menentukan sama ada visi untuk ASEAN menjadi realiti atau sebaliknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial