KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia, Proton e.MAS 7 mengekalkan kedudukan teratas dalam segmen itu selama tiga bulan berturut-turut sejak Januari 2025, sekali gus menjadikannya model EV terlaris di negara ini.
Dalam kenyataannya, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat pengeluar kereta nasional Proton berkata sebanyak 797 unit Proton e.MAS 7 berjaya dijual pada Mac lepas.
Kenderaan EV itu juga mencatat pencapaian baharu menerusi penghantaran sebanyak 1,853 unit bagi tempoh suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET Zhang Qiang berkata pegangan pasaran model itu setakat tahun ini mencecah 30 peratus yang mengukuhkannya di kedudukan pertama EV di Malaysia.
“Pencapaian itu menjadi pendorong untuk kami dalam menawarkan produk berkualiti serta pengalaman terbaik untuk pelanggan.
"Matlamat kami bukan hanya sekadar menjual kereta tetapi ingin membangunkan ekosistem berserta infrastruktur pengecasan EV yang lengkap di Malaysia" katanya.
Kajian terkini oleh PRO-NET juga menunjukkan tiga alasan utama pelanggan memilih Proton e.MAS 7 merangkumi nilai berbaloi dengan harga ditawarkan, ruang kabin dan ruang bagasi yang luas serta ciri-ciri inovatifnya.
PRO-NET berkata selain direka untuk rakyat Malaysia dengan harga mampu milik, pelbagai ciri terbaik termasuk ruang kabin dan bagasi yang luas serta ciri inovatifnya juga menjadikan Proton e.MAS 7 sebagai pilihan pelanggan.
Ekosistem pengecasan dengan aplikasi Proton e.MAS 7 turut memudahkan akses kepada lebih 2,300 lokasi pengecasan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial