WASHINGTON, 15 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyuarakan harapan agar Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dapat membantu menjadi pengantara perjanjian nuklear dengan Iran, ketika rundingan diteruskan dalam apa yang disifatkannya sebagai “situasi berbahaya.”
Bercakap pada majlis santapan negara di Doha pada Rabu, Trump berkata: “Saya harap baginda boleh bantu saya dalam isu Iran, kerana ini satu situasi berbahaya dan kami mahu lakukan perkara yang betul,” sambil memuji usaha pemimpin Qatar itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Saya harap para pemimpin Iran memahami bahawa apa yang anda lakukan untuk mereka - adalah satu kebaikan yang besar. Perdana menteri anda, pemimpin hebat di sebelah kiri saya ini, telah banyak membantu, dan mereka menghormatinya dan mereka mendengarnya.
“Mereka perlu bertindak segera. Kita berdua faham. Keputusan itu di tangan mereka,” kata Trump yang duduk di sebelah Emir.
Trump turut menyatakan harapan agar Iran menyedari bahawa mereka mempunyai “sahabat baik” di Qatar.
Rundingan antara Iran dan AS, yang memberi tumpuan kepada program nuklear Tehran, bermula bulan lalu dengan Oman sebagai orang tengah, susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara.
Rundingan pusingan keempat dimuktamadkan di Muscat pada Ahad, dengan Trump sekali lagi menekankan kepentingan isu itu, dan berkata perjanjian tersebut boleh “menyelamatkan mungkin jutaan nyawa.”
Rundingan itu bertujuan untuk mencapai persetujuan baharu bagi menggantikan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian nuklear 2015 yang AS menarik diri pada Mei 2018 di bawah pentadbiran Trump.
Penarikan diri itu menjadi detik perubahan apabila Washington melancarkan kempen “tekanan maksimum” untuk memaksa Iran kembali ke meja rundingan - usaha yang akhirnya gagal.
Sebagai tindak balas, Iran mula mengurangkan pematuhannya terhadap JCPOA, sambil menuduh penandatangan Barat gagal menunaikan komitmen ekonomi di bawah perjanjian tersebut.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial