DUNIA > BERITA

INDONESIA LANJUT OPERASI MODIFIKASI CUACA DI RIAU BAGI CEGAH RISIKO KEBAKARAN

08/05/2025 01:39 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Mei (Bernama) -- Indonesia akan melanjutkan operasi modifikasi cuaca di wilayah Riau selama lima hari bermula Khamis sebagai sebahagian daripada usaha yang dipertingkatkan untuk mengurangkan risiko kebakaran di kawasan yang terdedah.

Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) berkata pelanjutan itu dibuat susulan kehadiran awan hujan yang masih terdapat di kawasan berkenaan, sekali gus membolehkan pembenihan awan diteruskan bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah.

Antara 1 hingga 7 Mei, BNPB mengerahkan sebuah pesawat bagi menabur 5.6 tan natrium klorida (NaCl) ke atmosfera dalam usaha membasahi kawasan tanah gambut dan mengisi semula takungan air.

“Sehingga Rabu, tiada kebakaran hutan atau tanah dilaporkan di wilayah Riau. Pemantauan udara juga tidak mengesan sebarang titik panas di kawasan berisiko tinggi,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Beliau berkata inisiatif modifikasi cuaca itu susulan mesyuarat penyelarasan pada 28 April berkaitan pencegahan kebakaran hutan, dan merupakan sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan kecemasan yang lebih menyeluruh untuk menangani bencana berkaitan jerebu di rantau ini.

Operasi itu diselaraskan dari Pangkalan Udara Roesmin Nurjadin di Riau, dengan kerjasama Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) serta Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI-AU).

Usaha lanjutan itu mencerminkan komitmen berterusan Indonesia dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, cabaran alam sekitar yang dikongsi bersama dengan memberi kesan besar kepada kesihatan dan ekologi serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan