MIRI, 9 Mei (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan Sarawak Oil Palms Bhd (SOP) telah memuktamadkan kerjasama penting menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang turut menandakan pencapaian dalam integrasi pemuliharaan biodiversiti sektor sawit Malaysia.
Majlis pemeteraian pada Khamis yang turut dihadiri wakil kedua-dua organisasi, juga memaparkan komitmen bersama dan bermakna terhadap pengawasan alam sekitar, terutama melalui usaha kerjasama bagi melindungi kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) dalam landskap ladang SOP.
Dalam kenyataannya, MPOGCF berkata MoU itu telah ditandatangani oleh Pengurus Besarnya Hairulazim Mahmud dan Ketua Pegawai Operasi SOP Eric Kiu Kwong Seng serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SOP Paul Wong Hee Kwong.
Yusran menyifatkan MoU itu sebagai dedikasi MPOCGF bagi menjadikan pemuliharaan dan biodiversiti sebagai teras pengurusan ladang mampan selain mengukuhkan tanggungjawab bersama.
“Lebih bermakna, SOP adalah syarikat minyak sawit pertama dari Sarawak yang menjalin tahap kerjasama ini dengan MPOGCF.
“Kami berbangga untuk mengambil langkah bersejarah ini secara bersama dan berharap ini memberi inspirasi kepada lebih banyak syarikat di negeri ini untuk menyertai kami dalam memajukan amalan sawit bertanggungjawab," katanya.
Menerusi kerjasama itu, dua organisasi berkenaan akan menjalankan ekspedisi saintifik di Murum, Sarawak bagi mendokumentasikan serta menganalisis biodiversiti dalam zon HCV bersebelahan ladang.
Inisiatif itu turut menilai strategi bagi meningkatkan koridor hidupan liar, memelihara ekosistem, dan menyokong mata pencarian masyarakat tempatan sambil mengekalkan produktiviti pertanian.
“Usaha itu bertujuan mendokumentasikan kekayaan biodiversiti di seluruh kawasan ladang SOP dan zon HCV di sekitarnya,” katanya.
Sementara itu, Kiu pula menegaskan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan mampan dan menekankan bahawa pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab melangkaui daripada pematuhan peraturan.
Kerjasama itu juga, katanya, mengesahkan komitmen padu SOP terhadap amalan sawit yang bertanggungjawab.
“Dalam usaha untuk terus berkembang, aspek mengukuhkan pengawasan terhadap alam sekitar juga perlu dilakukan.
“Kerjasama dengan MPOGCF ini akan membolehkan kami memanfaatkan pengetahuan saintifik, memupuk kerjasama dan menterjemahkan matlamat kemampanan kepada impak sebenar di lapangan.
“Ia bukan hanya mengenai pematuhan tetapi juga mewujudkan warisan penjagaan untuk generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial