KUCHING, 9 Mei (Bernama) -- Semua pengedar dan pemilik kenderaan elektrik (EV) di Sarawak perlu memastikan plat nombor pendaftaran kenderaan mereka mematuhi spesifikasi di bawah inisiatif ePlate Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun polisi itu tidak diwajibkan buat masa ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata walaupun kementeriannya bukan agensi pelaksana polisi itu, namun pihaknya berperanan memastikan masyarakat serta pihak berkepentingan industri kenderaan menerima maklumat terkini dan tepat.
“Walaupun belum diwajibkan, semua pemilik EV sangat digalakkan untuk menggunakan ePlate supaya selari dengan usaha nasional ke arah penguatkuasaan dan penyeragaman lebih baik selain memainkan peranan penting dalam menyokong keselamatan jalan raya serta operasi tindak balas kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi menyelamat dalam situasi kecemasan seperti dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memerlukan protokol berbeza dalam mengendalikan EV disebabkan sistem bateri voltan tinggi.
“Apabila pasukan menyelamat boleh mengenal pasti kenderaan terlibat adalah EV dengan pantas, mereka boleh bertindak lebih berkesan dan selamat menggunakan teknik menyelamat bersesuaian,” katanya.
Lee berkata polisi ePlate merupakan inisiatif kerajaan persekutuan dan setakat ini, hanya terpakai kepada kereta, dan masih dalam fasa sukarela, dengan penguatkuasaan dalam masa ini berbentuk nasihat dan tiada kompaun dikenakan.
Peringatan itu diberikan ekoran timbul kes baru-baru ini yang melibatkan pemilik EV menerima notis daripada JPJ berhubung ketidakpatuhan berhubung spesifikasi ePlate, yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat awam.
Beliau berkata JPJ Sarawak telah menjelaskan pengeluaran notis itu adalah sebahagian daripada penguatkuasaan berbentuk nasihat dan tiada tindakan lanjut diambil terhadap pemilik kenderaan tersebut, kerana ePlate digunakan mematuhi spesifikasi mereka.
“Kami menghargai maklum balas JPJ dalam menyemak kes dan memberi penjelasan. Insiden ini menunjukkan kepentingan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap inisiatif baharu,” katanya.
Beliau berkata mobiliti hijau bukan sekadar trend global, namun juga komponen utama kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID 19 2030 (PCDS 2030) ke arah wilayah maju dan lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial