DUNIA > BERITA

POLIS INDONESIA TUMPASKAN SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA DI KALIMANTAN UTARA, 82 MANGSA DISELAMATKAN

08/05/2025 01:44 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 8 Mei (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia berjaya menumpaskan rangkaian pemerdagangan manusia di Kalimantan Utara, dengan menahan tujuh suspek serta menyelamatkan 82 mangsa, menurut polis pada Khamis.

Operasi itu dilancarkan susulan pemeriksaan oleh Pasukan Penguatkuasaan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia yang diketuai oleh Jabatan Siasatan Jenayah Polis Negara (Bareskrim).

Pada 5 Mei, pegawai penguat kuasa menaiki feri KM Talia, diikuti KM Bukit Sibuntang pada keesokan harinya dan berjaya mengesan puluhan individu yang cuba diseludup ke Malaysia melalui pelabuhan kecil di Pulau Sebatik, dengan destinasi akhir mereka ke Tawau, Sabah.

Menurut kenyataan polis, kebanyakan migran tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan telah dikenakan bayaran antara 4.5 juta hingga 7.5 juta rupiah (sekitar US$280 hingga US$470) untuk perjalanan itu.

"Usaha ini tidak terhenti di sini. Siasatan akan diteruskan bagi membongkar rangkaian antarabangsa di sebalik kes ini," kata Pengarah Bahagian Pemerdagangan Manusia Bareskrim, Brigedier Jeneral Nurul Azizah.

Suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 2023 dan kini berdepan pelbagai pertuduhan di bawah undang-undang perlindungan pekerja migran, pemerdagangan manusia dan imigresen Indonesia, yang memperuntukkan hukuman maksimum 15 tahun penjara serta denda mencecah berbilion rupiah jika sabit kesalahan.

Pihak polis kini bekerjasama dengan angkatan tentera, pihak imigresen, pejabat pendakwa raya, kerajaan tempatan dan Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) bagi membantu proses pemulangan dan pemulihan mangsa.

“Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital serta unit jenayah siber bagi menyekat akaun media sosial dan iklan dalam talian yang berkaitan tawaran pekerjaan luar negara secara haram,” kata Nurul Azizah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan