DUNIA > BERITA

PALESTIN DESAK TINDAKAN ANTARABANGSA UNTUK AKHIRI KRISIS KEMANUSIAAN DI GAZA

29/04/2025 06:05 PM

RAMALLAH/GAZA, 29 April (Bernama-Xinhua) -- Kementerian Luar Palestin pada Isnin menggesa campur tangan antarabangsa dengan kadar segera untuk menekan Israel agar menamatkan krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Semenanjung Gaza, lapor Xinhua.

Operasi berterusan Israel menyebabkan "kemusnahan meluas," termasuk "dasar terancang dan sistematik yang menafikan akses orang awam kepada makanan, air dan ubat-ubatan sejak 2 Mac, dengan penutupan penuh laluan lintasan dan sekatan bantuan kemanusiaan," menurut kementerian itu.

Kementerian itu turut mengecam tindakan berterusan Israel yang mengabaikan seruan antarabangsa supaya bantuan kemanusiaan segera dibenarkan masuk, dan menyifatkannya sebagai "jenayah sepenuhnya yang memerlukan tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa."

Kementerian menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah praktikal dan memberikan tekanan sebenar ke atas Israel untuk berhenti menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap orang awam.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memulakan sesi pendengaran berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Pihak Berkuasa Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel kerana enggan membenarkan bantuan masuk ke Gaza.

Sementara itu, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal pada Isnin berkata kekurangan bahan api akibat sekatan Israel menyebabkan kebanyakan kenderaan Pertahanan Awam di selatan Gaza tidak lagi beroperasi.

"Akibat kehabisan bahan api yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan bomba, penyelamat dan ambulans di selatan Gaza, lapan daripada 12 kenderaan kini tidak dapat digunakan," katanya.

Beliau memberi amaran bahawa keupayaan untuk bertindak balas terhadap kecemasan kini amat terhad dan menggesa PBB serta organisasi antarabangsa lain untuk segera bertindak menekan Israel agar menarik balik sekatan.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya laluan ke Gaza, dengan menyatakan bahawa tiada bantuan dibenarkan masuk sehingga semua tawanan yang ditahan Hamas dibebaskan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan