DUNIA > BERITA

BEKALAN MAKANAN DI GAZA SEMAKIN KRITIKAL – JURUCAKAP PBB

24/04/2025 05:51 PM

NEW YORK, 24 April (Bernama-WAFA) -- Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berkata operasi bantuan kemanusiaan PBB di Gaza hanya boleh dijalankan mengikut prinsip kemanusiaan, berkecuali dan bebas, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) pada Rabu.

Beliau memberikan kenyataan itu sebagai respons kepada laporan bahawa Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Katz menyatakan dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan pada Selasa bahawa bantuan di Gaza akan diagihkan oleh tentera atau syarikat Amerika.

“Operasi kemanusiaan PBB di Gaza atau di mana-mana sahaja hanya boleh dilaksanakan selaras dengan prinsip kemanusiaan, berkecuali dan bebas,” tegasnya.

Dujarric turut memaklumkan bahawa bekalan makanan di seluruh Gaza kini berada pada tahap “amat kritikal,” dan kes kekurangan zat makanan sedang meningkat dengan pantas.

Beliau menyifatkan keadaan hidup di Gaza sebagai “amat dahsyat”, dengan 75 peratus penduduk terdedah kepada sisa buangan dan kumbahan yang membawa kepada masalah kesihatan serius.

Dujarric menggesa negara-negara anggota yang berpengaruh agar mengambil langkah perlu bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan semula ke Gaza dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan