THE HAGUE, 25 April (Bernama-WAFA) -- Kamar Rayuan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Khamis menolak permohonan untuk membatalkan atau menggantung waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant.
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), dalam kenyataannya pada Khamis, ICC menjelaskan bahawa walaupun ia menerima rayuan Israel untuk pertimbangan semula mengenai bidang kuasa Mahkamah terhadap jenayah yang dilakukan di wilayah Palestin, keputusan itu tidak menjejaskan waran tangkap yang masih berkuat kuasa.
Isu bidang kuasa, menurut kamar itu, berkaitan sama ada ICC boleh mendakwa individu bagi jenayah yang didakwa dilakukan di Gaza dan Tebing Barat, kawasan yang kedaulatan dan kemerdekaan Palestin masih dipertikaikan.
Keputusan itu mengarahkan supaya isu bidang kuasa dikembalikan kepada Kamar Praperbicaraan ICC, yang pada asalnya mengeluarkan waran tangkap pada 21 Nov 2024. Kamar Praperbicaraan sebelum ini mendapati ada asas yang munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab terhadap jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Kamar itu menegaskan bahawa waran tangkap tersebut tetap sah dan tidak terjejas oleh semakan bidang kuasa, yang kini akan diteruskan dengan pemeriksaan lanjut terhadap hujah undang-undang Israel.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial