BEIJING, 23 April (Bernama-Xinhua) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terkini menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.8 peratus, susut sebanyak 0.5 mata peratusan berbanding anggaran Januari lepas, lapor Xinhua.
"Sejak kemas kini WEO Januari, beberapa langkah tarif baharu oleh Amerika Syarikat serta tindak balas balas daripada rakan dagang telah diumumkan dan dilaksanakan," menurut laporan itu, yang menyifatkan tarif timbal balik oleh AS pada 2 April sebagai "hampir menyeluruh" dan "tidak pernah disaksikan dalam tempoh satu abad."
“Langkah ini sahaja merupakan kejutan negatif utama terhadap pertumbuhan,” menurut IMF dalam ringkasan eksekutif WEO April 2025.
Berdasarkan unjuran rujukan yang mengambil kira maklumat sehingga 4 April, pertumbuhan global dijangka merosot kepada 2.8 peratus pada 2025 dan tiga peratus pada 2026 - menyusut lebih rendah berbanding unjuran 3.3 peratus bagi kedua-dua tahun dalam kemas kini Januari serta jauh di bawah purata sejarah 3.7 peratus (2000 - 2019), menurut laporan terkini WEO.
Pertumbuhan di Amerika Syarikat dijangka perlahan kepada 1.8 peratus, turun 0.9 mata peratusan berbanding ramalan Januari, disebabkan "ketidaktentuan dasar yang lebih tinggi, ketegangan perdagangan dan momentum permintaan yang lemah,” menurut laporan itu.
Pertumbuhan zon Euro pula diramalkan pada kadar 0.8 peratus bagi 2025, iaitu penurunan 0.2 mata peratusan.
Bagi negara maju secara keseluruhan, pertumbuhan dianggarkan pada 1.4 peratus, manakala pasaran baru muncul dan negara membangun dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 3.7 peratus.
Ramalan itu sejajar dengan jangkaan kebanyakan ahli ekonomi. JPMorgan kini mengunjurkan kemungkinan kemelesetan di AS sebanyak 60 peratus. Rizab Persekutuan juga menjangka pertumbuhan AS akan perlahan kepada 1.7 peratus tahun ini.
Menyedari peningkatan halangan perdagangan akan mengakibatkan kesan mendadak kepada pertumbuhan, Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva pada Khamis memberi amaran bahawa ketidaktentuan akibat peningkatan tarif adalah "mahal."
“Hasilnya? Kapal di laut tidak tahu pelabuhan mana yang harus dituju; keputusan pelaburan ditangguhkan; pasaran kewangan tidak menentu; tabungan berjaga-jaga meningkat. Semakin lama ketidaktentuan ini berterusan, semakin besar kosnya,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi IMF Pierre-Olivier Gourinchas pula berkata sistem ekonomi global yang diamalkan kebanyakan negara sejak 80 tahun lepas kini sedang disusun semula.
“Peraturan sedia ada dicabar sementara yang baharu masih belum diwujudkan,” katanya pada sidang media, sambil menekankan keperluan kepada dasar yang berhati-hati dan kerjasama yang lebih baik.
Keutamaan pertama ialah memulihkan kestabilan dasar perdagangan dan membentuk perjanjian yang saling memanfaatkan. Ekonomi global memerlukan sistem perdagangan yang jelas dan boleh diramal,” kata Gourinchas.
Presiden Kumpulan Bank Dunia Ajay Banga pada Selasa berkata tarif yang lebih rendah memberi manfaat kepada semua pihak. “Sejarah menunjukkan ekonomi yang lebih terbuka cenderung berkembang lebih pesat dan lebih berdaya tahan terhadap kejutan,” katanya.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial