AM > BERITA

Pertemuan Zahid-Prabowo Perkukuh Solidariti Serantau

24/04/2025 12:26 AM

JAKARTA, 23 April (Bernama) -- Pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto semalam bukan sekadar urusan diplomatik biasa, tetapi dilihat memperkukuh lagi solidariti serantau dan hubungan persahabatan sedia terjalin antara dua negara.

Disambut penuh mesra di Istana Merdeka, Jakarta, Prabowo menerima kehadiran Ahmad Zahid sebagai kawan lama dari masa muda, mencerminkan keakraban yang melangkaui protokol rasmi sekali gus membuka ruang luas untuk Malaysia dan Indonesia memperkukuh solidariti dalam pelbagai isu serantau dan global.

Ia termasuk tentang cabaran ekonomi serantau khususnya berkaitan Tarif Trump serta krisis kemanusiaan di Gaza dengan kedua-dua pemimpin berharap isu-isu ini dapat ditangani dengan semangat kesepakatan dan tanggungjawab serantau.

Sekretariat Presiden Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan Prabowo dan Ahmad Zahid menegaskan kepentingan memelihara kestabilan kawasan dan komited untuk terus menjaga hubungan harmoni antara dua negara serumpun.

Selain itu, kerjasama dalam industri halal juga menjadi tumpuan dengan kedua-dua negara pada dasarnya mencapai kesepakatan supaya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus dapat diguna pakai terhadap produk halal yang dieksport ke Indonesia tanpa perlu prosedur operasi standard baharu.

Semasa lawatan rasmi selama tiga hari itu, Ahmad Zahid turut bertemu dengan Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka di Istana Naib Presiden yang membincangkan tentang kerjasama dalam soal kebajikan tenaga kerja Indonesia, kestabilan serantau, nelayan dan krisis kemanusiaan di Palestin.

Hasil daripada dua pertemuan itu, kedua-dua negara bersetuju secara prinsip untuk saling mengiktiraf pensijilan halal yang bakal memudahkan perdagangan serta cetusan idea penubuhan Majlis Halal ASEAN bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Kedua-dua negara juga bersetuju bahawa nelayan yang tersasar masuk ke perairan Indonesia mahupun Malaysia diberikan amaran berdasarkan memorandum persefahaman yang ditandatangani pada 2012.

Kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi juga terus diperkukuh, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pertukaran tiga Surat Hasrat (LOI) melibatkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), Pemerintah Wilayah Jakarta dan Sumatera Barat serta Gabenor Wilayah Sumatera Barat Mahyeldi Ansharullah.

Untuk memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, Malaysia dan Indonesia bakal menjalin kerjasama francais sekali gus mewujudkan ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing manakala pelancaran ASEAN Unity Drive 2025 di Jakarta mencerminkan komitmen utuh Malaysia memupuk integrasi serantau, mempromosikan mobiliti mampan dan memajukan inovasi di seluruh Asia Tenggara.

Menyentuh isu serantau lain, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, mengajak semua negara ASEAN menegakkan prinsip One ASEAN, One Response sebagai komitmen dalam mendepani bencana.

Beliau mencadangkan agar semua negara ASEAN menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masing-masing yang setara dengan pasukan SMART Malaysia semasa pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Ahmad Zahid berkata Malaysia sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada negara-negara yang berminat dalam usaha ini.

Beliau turut menyokong cadangan Menteri-Menteri Agama Asia Tenggara (MABBIM) agar pembayaran dam ibadah haji, yang kini dilaksanakan melalui penyembelihan kambing di Arab Saudi, dibolehkan dilakukan di negara asal jemaah bagi meningkatkan kecekapan dan agihan daging.

Sokongan turut diberikan kepada Indonesia yang mencadangkan pembinaan penempatan kekal di Mina untuk keselesaan jemaah haji, namun menekankan keperluan untuk menyampaikan hasrat itu dengan jelas dan baik kepada kerajaan Arab Saudi.

Lawatan Ahmad Zahid kali ini dilihat penting ketika kedua-dua negara menghadapi ketidakpastian global, peningkatan fahaman perlindungan (protectionism) ekonomi sekali gus menyerlahkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan