DUNIA > BERITA

PENGERUSI BERNAMA CADANG FORUM MEDIA DAN KUMPULAN PEMIKIR ASEAN-CHINA JADI ACARA TAHUNAN  

11/04/2025 06:25 PM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab & Wong Cheng Hau

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai mencadangkan agar Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China diadakan setiap tahun di negara ASEAN atau di China bagi memperkukuh kerjasama serantau.

Beliau berkata penglibatan berterusan melalui platform sedemikian adalah penting untuk memupuk persefahaman, memperluas pertukaran serta mempertingkatkan kerjasama dalam bidang seperti inovasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan warisan budaya.

“Adalah baik sekiranya Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China ini dapat diadakan setiap tahun di negara ASEAN atau di China,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi pleno forum sulung yang dianjurkan bersama Agensi Berita Xinhua dan Bernama di sini, pada Jumaat.

Wong turut berharap hasil forum itu dapat membawa kepada kerjasama lebih erat antara agensi media dan badan pemikir ASEAN dan China.

Beliau berkata kumpulan media di ASEAN dan China boleh merintis program bersama dari segi penghasilan kandungan serta latihan dan sokongan berkaitan AI, sekali gus memperkukuh penglibatan Selatan Global.

Wong turut mencadangkan penubuhan hab inovasi bagi merangsang kreativiti untuk menangani cabaran tempatan dan menyumbang kepada perkembangan pengetahuan global.

“Kumpulan media ASEAN dan China perlu bekerjasama untuk meneroka analitik berasaskan AI dan aplikasi AI bagi meningkatkan produktiviti serta menjana hasil, termasuk menerusi model perniagaan baharu,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa AI boleh memudahkan pertukaran budaya dengan merapatkan jurang bahasa melalui terjemahan masa nyata dan penghasilan kandungan.

“Forum sehari ini tidak mencukupi. Kita perlu bertemu lagi untuk membincangkan isu berat sebelah dan keadilan dalam algoritma AI, selain usaha membangunkan sistem AI yang adil dan bebas daripada prejudis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong berkata ASEAN dan China, yang masing-masing mempunyai populasi lebih 600 juta dan 1.4 bilion penduduk, memiliki potensi ekonomi yang besar, dengan kedua-dua pihak bekerjasama untuk membina pasaran berskala besar.

“Usaha ini amat penting dan membawa implikasi sejarah yang besar dalam menstabilkan rantaian industri dan bekalan global, serta mempertahankan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan perdagangan bebas,” katanya.

Beliau berkata China dan ASEAN mempunyai ekonomi yang saling melengkapi dengan potensi besar untuk kerjasama dalam bidang seperti transformasi digital industri, AI dan pembangunan ekonomi hijau.

Forum sehari itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kehadiran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Forum yang dianjurkan bersama Bernama dan Agensi Berita Xinhua bertemakan "Mengukuhkan Kerjasama ASEAN-China" itu menghimpunkan lebih 200 peserta, termasuk pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China bagi memperkukuh penglibatan dalam landskap media yang sentiasa berkembang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan