Oleh Lucia Terey John
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perkongsian ekonomi yang lebih kukuh antara ASEAN dan China akan membuka laluan penting kepada kestabilan dan pertumbuhan serantau di tengah-tengah ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
“Perdagangan bebas, yang pernah dilihat sebagai pemacu kemakmuran dan integrasi, kini dalam penelitian.
“Apa yang menjadikan detik ini lebih mencabar ialah ketidaktentuan mendalam yang menyelubungi tindakan perdagangan daripada pentadbiran AS,” katanya pada Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang julung kali diadakan di sini, pada Jumaat.
Wong berkata meskipun berdepan cabaran, ASEAN dan China mengenal pasti keperluan untuk integrasi ekonomi yang lebih mendalam, memandangkan kedua-dua pihak berhasrat menandatangani Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 pada 2025.
Sejak pelancaran ACFTA 1.0 pada Januari 2010, hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala antara ASEAN dan China telah berkembang pesat, dengan peningkatan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan serta pertukaran rakyat yang semakin aktif.
“China merupakan rakan dagang terbesar ASEAN selama 16 tahun berturut-turut, manakala ASEAN menjadi rakan dagang utama China untuk lima tahun berturut-turut.
Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar China dan sumber import utama dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, hubungan perdagangan yang berkembang pesat ini tidak akan tercapai jika kedua-dua pihak, yang secara kolektif mewakili lebih satu per lima ekonomi global dan pasaran lebih dua bilion penduduk tidak berkongsi komitmen terhadap visi mewujudkan pasaran serantau bersepadu, memperkukuh jaringan hubungan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing demi manfaat bersama.
Dalam situasi ketidaktentuan perdagangan global serta peningkatan tarif AS, beliau menekankan keperluan memperkukuh perkongsian strategik yang komprehensif antara ASEAN dan China.
“Dengan menggabungkan kapasiti pengguna dan pengeluaran, ASEAN dan China boleh membina pasaran berskala besar, mewujudkan rantaian bekalan serantau serta memperkukuh perdagangan yang akan membantu mengekalkan pertumbuhan di rantau ini sekali gus mengurangkan kesan kadar tarif AS yang lebih tinggi,” katanya.
Tindakan kolektif ini akan menandakan komitmen terhadap pasaran terbuka, kemakmuran bersama dan sistem perdagangan berasaskan peraturan yang memberi manfaat kepada semua.
“Ketika syarikat di seluruh dunia mula menilai semula kebergantungan mereka kepada satu pasaran sahaja, kekuatan ekonomi gabungan ASEAN-China tampil sebagai alternatif yang menarik,” katanya.
Wong berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini komited untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau, mempromosikan perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN dan dengan China, serta mengukuhkan kerjasama rantaian bekalan.
“Lokasi strategik negara, infrastruktur yang mantap serta ekonomi digital yang berkembang pesat menjadikan Malaysia penghubung semula jadi untuk kerjasama ASEAN-China.
Selain mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi tradisional, syarikat Malaysia dan China kini turut mengembangkan kolaborasi dalam bidang baharu seperti kecerdasan buatan, teknologi digital, tenaga hijau dan rendah karbon serta pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Wong turut menekankan peranan penting media dalam menyokong usaha-usaha ini.
“Sebagai Pengerusi Bernama, saya percaya media memainkan peranan penting dalam merapatkan naratif, memperkukuh persefahaman serta memperluas kejayaan kerjasama ekonomi kita,” katanya.
Forum satu hari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Acara bertaraf antarabangsa anjuran bersama Bernama dan Agensi Berita Xinhua itu menghimpunkan kira-kira 200 delegasi termasuk pegawai kerajaan, pemimpin media dan pakar dari rantau ASEAN dan China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial