WASHINGTON, 11 April (Bernama-dpa) -- Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengesahkan menerima tawaran rundingan perdagangan daripada lebih 15 negara, susulan pengumuman Presiden Donald Trump pada Rabu yang menangguhkan pelaksanaan tarif global selama 90 hari, menurut laporan Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pengarah Majlis Ekonomi Negara, Kevin Hassett berkata kepada Fox News bahawa perkembangan ini bukan bermakna perjanjian telah dicapai, namun ia menunjukkan bahawa wakil-wakil negara terbabit telah menghubungi dan mengemukakan tawaran yang jelas di meja rundingan.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada penyelesaian segera, sebaliknya disesuaikan mengikut keperluan dan matlamat bersama.
Menurut kenyataan terdahulu daripada pentadbiran Trump, lebih 75 negara menghubungi Rumah Putih bagi menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan perdagangan.
Bagaimanapun, Trump dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, China belum membuat sebarang panggilan setakat Rabu.
Sementara itu, Hassett berkata satu mesyuarat bersama pegawai kanan pentadbiran akan diadakan bagi menyusun keutamaan dasar yang akan dibentangkan kepada Presiden, berdasarkan pandangan para pakar.
Walaupun Trump menangguhkan tarif terhadap sebahagian besar rakan dagang utama Amerika Syarikat, tarif ke atas China masih dikekalkan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial