TOKYO, 11 April (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Jumaat mengarahkan pembantu rapatnya, Menteri Pemulihan Ekonomi Ryosei Akazawa untuk mengetuai rundingan tarif yang akan datang dengan Amerika Syarikat (AS), menjanjikan pendekatan “Jepun yang menyeluruh” untuk menangani apa yang disifatkannya sebagai krisis negara, lapor agensi berita Kyodo.
Ishiba menegaskan bahawa kerajaan perlu menggerakkan semua sumber merentas kementerian dan agensi untuk menekan AS - sekutu rapat Jepun - supaya menarik balik beberapa langkah tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Fokus utama katanya adalah melindungi ekonomi Jepun yang bergantung kepada eksport daripada kesan buruk yang dijangka berlaku.
Akazawa, yang dijangka ke AS minggu depan, berikrar untuk memberi keutamaan kepada rundingan berkenaan dan mencapai “hasil yang baik” untuk Jepun.
Beliau secara rasmi diberikan tanggungjawab itu dalam satu mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.
“Sebahagian daripada tarif timbal balik telah ditangguhkan, namun hakikatnya sektor seperti automotif, keluli dan aluminium — industri yang menyokong negara kita dan ekonomi global yang lebih luas — akan mengalami kesan serius akibat dasar tarif AS,” kata Ishiba kepada pasukan petugas kerajaan.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent, yang merupakan rakan sejawat Akazawa, dilaporkan berkata Jepun akan diberi keutamaan dalam rundingan itu memandangkan tindak balas pantas negara berkenaan.
Namun, pemerhati menjangkakan bahawa konsesi dari Washington akan sukar diperoleh.
Trump sebelum ini mengumumkan penangguhan pelaksanaan tarif “timbal balik” yang bertujuan membetulkan apa yang dianggapnya sebagai ketidakseimbangan perdagangan yang tidak adil.
Dalam kes Jepun, tarif sebanyak 24 peratus telah dikenakan. Walaupun AS telah menawarkan tempoh penangguhan selama 90 hari, tarif asas sebanyak 10 peratus masih kekal berkuat kuasa.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial