DUNIA > BERITA

PRESIDEN CHINA XI AKAN ADAKAN LAWATAN NEGARA KE MALAYSIA, KEMBOJA DAN VIETNAM

11/04/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia, Kemboja dan Vietnam dalam tempoh lima hari bermula 14 April 2025, menurut pengumuman yang diterbitkan di laman Facebook rasmi Kedutaan China di Malaysia, pada Jumaat (11 April).

Kenyataan itu, memetik jurucakap Kementerian Luar China, berkata Xi akan melawat Vietnam terlebih dahulu dari 14 April hingga 15 April atas jemputan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, dan Presiden Republik Sosialis Vietnam, Luong Cuong.

Selepas itu, Xi akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dan Kemboja dari 15 hingga 18 April, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Ibrahim dan Raja Norodom Sihamoni dari Kemboja.

Menurut laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama, pada 9 April, jurucakap kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan mengalu-alukan Xi dari 15 April hingga 17 April. Beliau berkata Kabinet melihat lawatan itu sangat penting dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala, terutamanya dalam perdagangan.

"Lawatan ini bukan sahaja dinanti-nantikan, tetapi ia juga merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia sebagai negara perdagangan untuk memupuk hubungan perdagangan yang lebih baik dengan pelbagai negara, termasuk China," kata Fahmi pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Beliau menambah bahawa butiran lanjut mengenai lawatan Presiden China akan diumumkan oleh Kementerian Luar Malaysia, yang dikenali sebagai Wisma Putra.

Agensi Berita Xinhua China juga melaporkan pengumuman yang sama pada Jumaat, memetik jurucakap Kementerian Luar China di Beijing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan