DUNIA > BERITA

PENYANYI LEGENDA INDONESIA TITIEK PUSPA MENINGGAL DUNIA PADA USIA 87 TAHUN

11/04/2025 03:46 AM

JAKARTA, 10 April (Bernama-Antara) -- Penyanyi, penulis lagu dan pelakon legenda Titiek Puspa menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di selatan Jakarta Selatan pada petang Khamis, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

"Titiek Puspa meninggal dunia pada 4:30 petang di Hospital Medistra," kata Mia, Pengurus Titiek Puspa, dalam satu mesej ringkas yang dihantar kepada Antara.

Dalam satu hantaran di Instagram sebelum itu, pemerhati muzik Stanley Tulung memaklumkan Titiek Puspa  diserang strok dan pengsan di sebuah studio televisyen di Jakarta. Beliau dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

Ketika mengucapkan takziah, Menteri Kebudayaan Fadli Zon menyifatkan Titiek Puspa sebagai figura penting yang sumbangannya sebagai penyanyi, penulis lagu dan artis meletakkan asas dalam sejarah muzik Indonesia.

"Indonesia kehilangan seorang figura yang tidak dapat dipisahkan daripada perkembangan muzik negara selama lebih enam dekad. Semoga Tuhan Yang Maha Berkuasa menerima amalannya," katanya dalam kenyataan bertulis.

Beliau berkata lagu Titiek Puspa "terpahat dalam ingatan kolektif bangsa," dan karyanya memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk mencipta nama di pentas seni Indonesia.

Titiek Puspa, yang nama sebenarnya Sudarwati, dilahirkan di Tabalong, Kalimantan pada 1 November 1937. Kerjayanya yang merangkumi lebih 60 tahun bermula selepas beliau memenangi pertandingan nyanyian di Semarang.

Beliau berlakon dalam beberapa filem seperti Inem Pelayan Sexy (1976), Karminem (1977) dan Apanya Dong (1983). Beliau juga berlakon dalam beberapa pementasan teater.

Beliau dicalonkan untuk Anugerah Citra sebagai Pelakon Pembantu Terbaik dalam Ini Kisah Tiga Dara (2016). Beliau juga menerima anugerah pencapaian seumur hidup daripada Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) dan Anugerah Muzik Indonesia.

Majalah Rolling Stone Indonesia menamakan beliau sebagai salah seorang "The Immortals," iaitu 25 artis terunggul Indonesia, pada 2008, mengiktiraf tempat beliau dalam kalangan legenda muzik terbesar di negara ini.

Majalah itu juga memilih dua lagunya, Kupu-Kupu Malam dan Bing, satu penghormatan kepada pelawak dan pelakon terkenal Bing Slamet, antara 150 lagu Indonesia terbaik sepanjang masa pada 2009.

Gambar Titiek Puspa turut diabadikan dalam edisi setem khas yang dilancarkan oleh Pos Indonesia dan Kementerian Komunikasi dan Informasi pada 2020, bersama-sama dengan pemuzik legenda Chrisye, Gesang dan Gombloh, yang semuanya meninggal dunia lebih awal.

--BERNAMA-ANTARA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan