KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama-Xinhua) -- Penting untuk ASEAN dan China mempertingkatkan usaha mempromosi pertukaran peradaban sebagai contoh kepada negara-negara Selatan Global dalam menyerlahkan kekayaan sumbangan budaya, sejarah dan intelektual, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai.
Terima kasih kepada permainan video aksi 2024 "Black Myth: Wukong," dan filem animasi “Ne Zha 2”, dua watak klasik China ini telah menjadi nama besar, beliau memberitahu Xinhua dalam satu temu bual baru-baru ini.
“China telah berjaya membuktikan keberkesanan pendekatan kuasa lembutnya kepada penonton global...yang dicapai menerusi penggunaan aplikasi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara kreatif dan bijak,” katanya.
Lebih signifikan lagi, katanya, usaha itu turut mendapat sambutan luar biasa tidak seperti sebelum ini dalam kalangan golongan muda di seluruh dunia - satu arena yang sekian lama didominasi pengaruh Barat.
Wong berkata, bagi Malaysia dan negara-negara ASEAN lain, teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan bandar bersejarah Melaka, wira legenda Hang Tuah, atau Angkor Wat di Kemboja melalui pengalaman interaktif dan “immersive”.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan mengambil peluang istimewa itu untuk membentuk naratif serantau dan memperkukuh kerjasama ASEAN-China, katanya.
Wong turut mengetengahkan pertukaran kandungan dan teknikal yang sedang berjalan antara media Malaysia dan China, inisiatif penyelidikan bersama berkaitan perdagangan, tenaga hijau, serta kecerdasan buatan antara badan pemikir kedua-dua negara, selain kerjasama dalam bidang kebudayaan dan penglibatan belia di pelbagai peringkat.
Beliau turut menegaskan kepentingan mempromosi naratif positif yang menonjolkan manfaat besar hasil kerjasama ASEAN-China, khususnya menerusi projek infrastruktur dan kerjasama sektor swasta.
Wong berkata, pertukaran idea, nilai, tradisi dan inovasi antara budaya dan tamadun yang pelbagai boleh memupuk sikap saling hormat menghormati, menghapuskan prasangka dan menyumbang kepada komuniti global yang lebih harmoni dan saling berkait.
Wong merupakan Pengerusi Bernama pertama daripada kaum Cina. Sepanjang kerjayanya, beliau telah melakukan banyak lawatan ke China, menyaksikan pembangunan pesat negara itu serta pemerkasaan hubungan kerjasama Malaysia-China dalam pelbagai bidang.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial