DUNIA > BERITA

PERSIAPAN FORUM MEDIA DAN KUMPULAN PEMIKIR ASEAN-CHINA 2025 BERJALAN LANCAR, SEDIA TERIMA 200 DELEGASI

10/04/2025 10:10 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China yang bakal berlangsung esok kini berada di peringkat akhir persiapan, dengan sesi raptai penuh hari ini berjalan lancar melibatkan semua aspek logistik, protokol dan teknikal.

Acara bertaraf antarabangsa anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua itu akan menghimpunkan kira-kira 200 delegasi termasuk pegawai kerajaan, pemimpin media dan pakar dari rantau ASEAN dan China.

Hadir pada sesi raptai tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Bertempat di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, forum antarabangsa yang bertemakan “Mengukuhkan Kerjasama ASEAN-China” itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta menggalakkan kerjasama lebih erat kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang.

Topik utama yang bakal dibincangkan termasuk “Menggalakkan Pertukaran Tamadun”, “Kerjasama Laluan Sutera Maritim”, dan “Peluang Luar Biasa dalam Revolusi AI”.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadualkan merasmikan forum itu pagi esok. Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut akan hadir. 

Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong dan pegawai kanan agensi itu juga dijangka menghadiri majlis berkenaan.

Satu majlis makan malam gala akan diadakan pada sebelah malam sebagai sebahagian daripada agenda forum sehari itu.

Antara panel penceramah yang akan menyertai forum termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Timbalan Pengarah Institut Xinhua Agensi Berita Xinhua Zhu Zhibin, Pengarah Eksekutif Kajian Perkongsian Indonesia China Veronika S. Saraswati, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Berita Laos Sivanxay Siphankham dan Naib Pengerusi Majlis Akhbar Myanmar Khin Maung Zaw.

Sebelum ini, Nur-ul Afida berkata forum yang julung kali diadakan itu akan menjadi platform kepada syarikat media dan kumpulan pemikir ASEAN dan China untuk bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik masing-masing, khususnya berkaitan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data dan automasi penghasilan berita.

“(Menerusi forum ini) negara anggota ASEAN juga boleh turut sama mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama rakan strategik masing-masing dari China,” katanya.

Beliau berkata penganjuran forum ini juga amat signifikan kerana Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini selain turut bertindak sebagai penyelaras negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh 2024-2027.

Bernama dan Xinhua mula menjalin kerjasama pada 14 Dis 1985. Kedua-dua pihak memperbaharui perjanjian itu pada Disember 2023 bagi memperkukuh lagi hubungan dan kolaborasi dua hala dalam bidang media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan