TOKYO, 7 April (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Isnin menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi membincangkan dasar tarif, lapor Agensi Berita Kyodo.
Ketika berucap dalam satu sesi jawatankuasa Parlimen, Ishiba menegaskan pentingnya Jepun membawa pakej cadangan konkrit ke meja rundingan, sambil menekankan sumbangan negara itu dalam mewujudkan peluang pekerjaan di Amerika Syarikat menerusi pelaburan langsung.
“Kita perlu jelaskan bahawa Jepun tidak bertindak secara tidak adil,” katanya, merujuk kepada dakwaan Presiden Trump bahawa Amerika telah “dimanfaatkan” oleh rakan dagangnya berdasarkan angka defisit perdagangan yang tinggi.
Kenyataan Ishiba hadir susulan pengumuman tarif timbal balik oleh Trump yang turut menyasarkan Jepun, dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negara itu yang bergantung pada eksport.
Langkah itu juga mencetuskan penjualan besar-besaran pasaran saham Jepun dan AS.
Ishiba memberi jaminan bahawa kerajaan Jepun akan berusaha sedaya upaya memastikan langkah tarif itu tidak menjejaskan pembiayaan dan peluang pekerjaan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana di Jepun.
Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi dalam sidang media berkala memaklumkan bahawa kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan ekonomi dan pasaran kewangan dalam dan luar negara.
Beliau turut memberi jaminan bahawa dasar fiskal dan ekonomi akan diselaras sebaik mungkin untuk menghadapi situasi semasa.
Pada Isnin, indeks utama pasaran saham Nikkei jatuh hampir 3,000 mata, mendorong Menteri Kewangan Katsunobu Kato menggesa para pelabur agar kekal tenang.
Dalam mesyuarat khas Kabinet pada Ahad yang melibatkan beberapa menteri kanan termasuk Hayashi dan Menteri Pemulihan Ekonomi Ryosei Akazawa, Ishiba mengarahkan Kato agar memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah sewajarnya.
Walaupun Ishiba turut menyuarakan hasrat untuk mengadakan perbincangan telefon dengan Trump, perkara berkenaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat itu, menurut Kato.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial