DUNIA > BERITA

TIGA DISAHKAN MAUT SELEPAS HELIKOPTER TERHEMPAS DI BARAT DAYA JEPUN

07/04/2025 01:50 PM

FUKUOKA (Jepun), 7 April (Bernama-Kyodo) -- Dua lagi individu disahkan maut selepas sebuah helikopter pengangkutan perubatan terhempas di perairan Wilayah Nagasaki pada Ahad, menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada tiga orang, menurut pengawal pantai.

Kyodo News melaporkan pengawal pantai berkata kematian seorang pesakit wanita berusia 86 tahun, seorang daripada enam individu di dalam helikopter itu, telah disahkan pada hari kejadian. Seorang ahli keluarga lelaki berusia 68 tahun yang menemani pesakit dan seorang doktor lelaki berusia 34 tahun turut disahkan meninggal dunia pada Isnin.

Pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah untuk mengelakkan helikopter itu daripada tenggelam dan memantau keadaannya sambil berusaha mengenal pasti punca sebenar nahas berkenaan. Helikopter itu berlepas dari lapangan terbang di Pulau Tsushima di wilayah tersebut kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.

Helikopter yang dikendalikan menerusi kontrak oleh sebuah syarikat penerbangan swasta itu dijadualkan tiba di sebuah hospital di Fukuoka, bandar terbesar di pulau barat daya Kyushu, kira-kira 2.15 petang. Ia dipercayai mengalami masalah apabila penjejak helikopter itu berhenti bergerak kira-kira 1.43 tengah hari.

Pada kira-kira 5.05 petang, sebuah kapal peronda pengawal pantai menemukan helikopter yang hilang itu terapung dalam keadaan terbalik dan menyelamatkan tiga individu yang masih hidup dan sedar. Tiga lagi penumpang turut ditemukan tetapi disahkan meninggal dunia kemudian.

Menurut hospital dan pihak berkuasa, helikopter pengangkutan perubatan itu sebelum ini pernah digantung operasi buat sementara waktu untuk menjalani pemeriksaan keselamatan selepas dua individu maut dalam nahas di Wilayah Fukuoka yang turut melibatkan syarikat penerbangan sama pada Julai tahun lepas.

Tiada sebarang kejanggalan dikesan ketika helikopter yang terlibat dalam nahas terbaru itu diperiksa pada Jumaat.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan