AM > BERITA

Sarawak Komited Kerjasama Rapat Dengan Kerajaan Persekutuan Jayakan Deklarasi Bersama

22/05/2025 06:15 PM

KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Sarawak komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) bagi melaksanakan rangka kerja Deklarasi Bersama yang ditandatangani di Putrajaya semalam, dengan niat baik.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu teguh dengan pandangan bahawa kedua-dua undang-undang persekutuan dan undang-undang negeri mesti wujud bersama secara harmoni dan dihormati oleh semua pihak.

“Deklarasi ini memberi panduan bagaimana mereka (Petronas) menjalankan urusan perniagaan mereka dengan kerjasama Petros. Petronas masih perlu memohon lesen, untuk beritahu kami. 

“Petros adalah aggregator gas, tetapi pihak berkuasa untuk mengeluarkan lesen ialah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang mempunyai kuasa untuk mengecualikan Petronas sebagai syarikat nasional… kita beri pengecualian kepada mereka,” katanya. 

Abang Johari berkata demikian dalam sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini bagi memberi penjelasan mengenai Deklarasi Bersama yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari di Putrajaya semalam, yang merujuk kepada persefahaman mengenai perkara-perkara yang melibatkan Petronas dan Petros.

Abang Johari turut memberi jaminan bahawa Deklarasi Bersama itu tidak akan dimansuhkan walaupun sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada masa akan datang. 

Beliau seterusnya mengulangi bahawa deklarasi itu adalah manifestasi jelas saling menghormati dan mengiktiraf rangka kerja kawal selia Sarawak, khususnya Ordinan Pengagihan Gas Negeri 2016.

Sementara itu ketika ditanya sama ada deklarasi tersebut akan memberi kesan kepada kes mahkamah yang sedang berjalan antara Petros dan Petronas, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan menyerahkan perkara itu kepada pasukan undang-undang untuk membuat keputusan. 

Kes mahkamah Petros-Petronas berkisar tentang pertikaian bidang kuasa berhubung kawalan sumber minyak dan gas di Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan