PORT DICKSON, 20 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan modul Aulad Sejahtera di 25 tadika Islam terpilih melibatkan 5,000 murid di Negeri Sembilan bermula tahun ini perlu diperluas kepada semua kategori pada fasa seterusnya.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah modul itu bukan sahaja menekankan nilai murni Islam malah turut mengangkat elemen Adat Perpatih yang menjadi warisan budaya negeri ini.
Baginda bertitah modul itu mengintegrasikan konsep pendidikan Jepun iaitu Tokkatsu, dengan pendekatan faktor pelaziman diperkenalkan tokoh psikologi Burrhus F. Skinner.
"Tujuan utama modul Aulad Sejahtera ini adalah menerapkan nilai murni dalam kalangan kanak-kanak sejak dari peringkat prasekolah seperti hormat, kasih sayang, tanggungjawab, amanah, dan sopan santun, iaitu asas penting dalam pembentukan peribadi seimbang dan harmoni.
"Nilai ini juga menjadi teras dalam usaha membina sebuah masyarakat yang seimbang dari segi akhlak, sosial, dan kemanusiaan," titah baginda pada Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2024 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Majlis Agama Islam negeri Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.
Tuanku Muhriz bertitah walaupun kesannya mungkin tidak dapat dilihat dalam masa terdekat, usaha menanam dan memupuk nilai ini perlu bermula sekarang.
Baginda bertitah modul itu tidak terbatas kepada kanak-kanak Islam semata-mata, sebaliknya ia relevan dan harus diterapkan kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa dan latar belakang agama.
Tuanku Muhriz berharap supaya pelaksanaan modul ini tidak terhenti di peringkat pendidikan prasekolah Islam sahaja sebaliknya diperluas kepada semua kategori prasekolah pada fasa seterusnya.
Baginda bertitah bagi mencapai tujuan ini, tanpa menjejaskan nilai asas yang ingin diterapkan, beberapa elemen dan submodul Aulad Sejahtera perlu diteliti semula dan diubah suai dengan sewajarnya supaya dapat diterima oleh semua kaum.
"Penglibatan pelbagai pihak dalam proses ini, khususnya wakil pelbagai kaum dan lapisan masyarakat, amatlah penting agar pendekatan yang dibangunkan bersifat inklusif serta mencerminkan aspirasi bersama," titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan harapan agar modul ini juga dapat diserap ke dalam sistem pendidikan arus perdana, khususnya di sekolah rendah melalui mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.
Baginda bertitah bagi mencapai matlamat itu, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan perlu dilaksanakan, khususnya dalam aspek penyelidikan, penilaian serta pelaksanaan dasar.
"Beta yakin, dengan pendekatan menyeluruh, bersepadu dan bersifat rentas kaum ini, negara dapat melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi memiliki akhlak mulia, jiwa seimbang serta jati diri yang kukuh," titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial