AM > BERITA

Pendapatan Tahunan Perbadanan MAINS Catat Peningkatan Ketara - Tuanku Muhriz

20/05/2025 05:28 PM

PORT DICKSON, 20 Mei (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pendapatan tahunan Perbadanan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menunjukkan peningkatan ketara sejak ditubuhkan pada 2021.

Baginda bertitah keputusan menubuhkan agensi itu tepat dan selari dengan aspirasi memperkasakan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan dan pencapaian dihasilkan mencerminkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan inisiatif agensi itu.

"Perbadanan MAINS turut merancang pelbagai inisiatif dan strategi bagi mengembangkan sumber ekonomi dan memperkukuh pendapatan organisasi," titah baginda selepas mendengar Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2024 disampaikan Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir di sini hari ini.

Tuanku Muhriz turut menekankan prinsip Maqasid Syariah perlu terus dijadikan asas dan panduan dalam penggubalan dasar serta pelaksanaan program agama di negeri itu.

Baginda bertitah ia penting bagi memastikan perancangan dan tindakan diambil membawa manfaat, menjamin kemaslahatan ummah serta menghindarkan kemudaratan.

Terdahulu, Abdul Aziz ketika menyampaikan taklimat berkata anggaran pendapatan semasa Perbadanan MAINS setakat April berjumlah RM6.1 juta.

Beliau turut menganggarkan agensi itu menjana pendapatan RM19.8 juta pada penghujung tahun ini berbanding RM17.9 juta diperoleh pada tahun lepas dan RM14.4 juta pada 2023.

Abdul Aziz turut menyasarkan pendapatan RM24.5 pada tahun depan menerusi sewa bangunan, pajakan tanah serta pembangunan hartanah.

"Projek dalam perancangan perbadanan berkenaan antaranya pembinaan 31 unit kedai di Batu 10, Pekan Labu di Nilai dan pembangunan Sekolah Menengah Agama Johol di Kuala Pilah.

"Turut dirancang ialah projek ternakan air tawar di Kampung Sentosa, Paroi serta Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Tani (IPR-Intan), Kampung Legong Jaya, Rembau," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan