AM > BERITA

Mangsa Serangan Asid Stabil, Jalani Rawatan Di HUSM - Suami

19/05/2025 05:35 PM

KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Mangsa serangan asid, Nor Faziera Muda, 27, kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata isterinya kini ditempatkan di Wad Unit Rawatan Kebakaran untuk rawatan lanjut.

“Doktor memaklumkan isteri saya memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu rawatan bagi pemulihan termasuk prosedur menampal kulit yang tercedera... saya bersyukur kerana simbahan asid tidak mengenai wajahnya... jika terkena, mungkin boleh menyebabkan kecederaan serius termasuk risiko buta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dia percaya suspek berniat mencederakan isterinya kerana berani menggunakan bahan berbahaya seperti asid dalam serangan itu.

“Baju yang dipakai isteri saya seperti terbakar akibat simbahan itu. Dia terpaksa memakai telekung untuk melarikan diri dan meminta pertolongan,” katanya.

Nur Faziera mengalami kecederaan pada bahu, belakang, lengan serta kaki dan setakat ini, keluarga mangsa tidak mengetahui motif sebenar kejadian dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat sepenuhnya kes itu.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin pula memaklumkan pihaknya telah mengambil keterangan lima saksi bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan di lokasi kejadian dan kita yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Pada Sabtu lepas, peniaga wanita itu disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang dekat Bachok.

Insiden berlaku ketika mangsa membuka pintu premis miliknya untuk memberikan perkhidmatan urutan mengikut satu temu janji dan selepas itu, suspek bertindak melarikan diri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan