GEORGE TOWN, 16 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib berpandangan Program i-Sejahtera wajar diteruskan dengan pendekatan yang lebih bersasar dan inklusif.
Beliau berkata keutamaan perlu diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping memperkenalkan alternatif pemberdayaan lebih mampan seperti peluang latihan kemahiran dan bantuan mikro kerana ia bukan sekadar meringankan beban, malah membuka ruang untuk rakyat berdikari sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.
“Usaha Kerajaan Pulau Pinang dalam menjaga kebajikan rakyat wajar dipuji. Pada 2024, sebanyak RM50.54 juta telah disalurkan melalui program ini (i-Sejahtera) kepada lebih 280,633 penerima.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan skala pelaksanaannya, tetapi juga memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan kehidupan rakyat tanpa mengira usia, status atau latar belakang,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini hari ini.
Pada 9 Mei lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang sedang menjalankan kajian dan semakan semula terhadap Program i-Sejahtera bagi memastikan program itu mencapai sasarannya.
Program i-Sejahtera merupakan penghargaan dan keprihatinan kerajaan negeri yang disumbangkan dalam bentuk kewangan secara setahun sekali kepada rakyat Pulau Pinang iaitu warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, suri rumah dan bayi.
Ramli berkata asas perancangan negeri perlu diperkemas dari semasa ke semasa bagi memastikan agenda kebajikan dan pembangunan sosial terus relevan serta berkesan.
Beliau berkata Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 yang sedang dilaksanakan menilai semula dasar-dasar dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 dan berperanan memperkukuhnya agar kekal selaras dengan aspirasi Penang2030.
Sementara itu, Ramli turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek-projek mega yang memperkukuh rangkaian infrastruktur dan mobiliti rakyat negeri ini termasuk Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD), Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Projek Pemindahan Air Terawat Sungai Perak atau Projek Air Perak–Pulau Pinang serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Beliau berkata Projek Pulau Silikon yang bermula pada 22 Sept 2023 juga telah menunjukkan perkembangan yang amat positif dengan hampir 150 ekar (60 hektar) penambakan telah diselesaikan setakat 25 April lepas.
Dalam pada itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan agar dapat mempertimbangkan Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1), yang dijangka memberi impak positif dalam pengurusan dan penyuraian trafik di Pulau Pinang.
“Saya difahamkan bahawa kerajaan negeri telah memohon projek ini di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas, dan permohonan ini sedang dalam perhatian serta pertimbangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sebagai Ketua Negeri, Ramli juga kagum melihat keprihatinan kerajaan Pulau Pinang dalam memperkasakan syiar Islam secara berterusan dengan Masjid Papan Kampung Pertama dan Masjid Bandar Cassia berjaya disiapkan menerusi peruntukan RM6 juta tahun ini selain beberapa projek pembinaan masjid sedang giat dilaksanakan termasuk Masjid Sungai Kechil, Masjid Bandar Putra Bertam, Masjid Taman Sungai Dua Utama serta Masjid Mengkuang Titi.
“Di samping itu, saya difahamkan bahawa pembangunan KITAB Smart City Campus di Bandar Cassia, Batu Kawan merupakan satu lagi projek besar yang bakal membawa impak jangka panjang, di atas tanah wakaf seluas 17.3 ekar ini akan dibina sebuah masjid dan pusat Islam, pusat komersial, kediaman pelajar, serta pusat pentadbiran dan akademik Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB),” katanya.
Terdahulu, Ramli memeriksa barisan kawalan kehormatan utama Pasukan Simpanan Persekutuan Negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota lain-lain pangkat diketuai DSP Herman Sharif.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial