AM > BERITA

Tarikh Akhir Kemuka E-Borang Tahun Taksiran 2024 Esok - LHDN

14/05/2025 03:13 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Tarikh akhir untuk mengemukakan e-Borang Tahun Taksiran 2024 (TT 2024) bagi individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan adalah esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia meliputi pembayar cukai kategori individu pemastautin merangkumi pekerja berpengetahuan, berkepakaran, bukan warganegara memegang jawatan utama dan individu bukan pemastautin.

Selain itu, kategori lain membabitkan individu bukan pemastautin (pekerja berpengetahuan), pertubuhan, harta pusaka dan keluarga sekutu Hindu.

LHDN memaklumkan pengemukaan borang nyata (BN) melalui e-Filing boleh dibuat menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing.

Pembayar cukai diingatkan untuk tidak bertangguh dan bertanggungjawab melaporkan pendapatan diterima dengan tepat melalui e-Borang serta membuat bayaran cukai dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penalti lewat mengemukakan borang cukai pendapatan, kenaikan cukai dan tindakan undang-undang.

Pembayar cukai juga dinasihatkan mengisi maklumat diri dan perbankan yang lengkap serta terkini bagi memastikan kelancaran proses bayaran balik cukai.

LHDN berkata kegagalan mengemukakan BN dan melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP).

Menurut Seksyen 112(1) ACP, kegagalan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan tidak memaklumkan layak dikenakan cukai boleh menyebabkan denda RM200 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Manakala pembayar cukai selepas tempoh dibenarkan akan dikenakan kenaikan cukai 10 peratus daripada cukai kena bayar mengikut Seksyen 103(3) ACP.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan