AM > BERITA

FMM Cadang Pelan Tindakan Nasional Tangani Kekurangan Penginapan Pekerja

02/05/2025 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan supaya kerajaan merangka satu pelan tindakan nasional mengenai kuarters buruh bagi menangani masalah kekurangan penginapan pekerja, khususnya di kawasan industri utama dan hab logistik di seluruh negara.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata pelan tindakan itu dicadangkan dilaksanakan secara bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan pihak berkuasa tempatan.

"Kekurangan Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) dan Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) pada masa ini telah menjejaskan kebajikan pekerja serta pematuhan majikan terhadap Akta 446 yang mengawal standard minimum perumahan dan kemudahan asas," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata majikan yang sering berdepan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pembangunan serta melalui proses birokrasi, menyukarkan penyediaan tempat tinggal selamat dan teratur untuk pekerja.

Sehubungan dengan hal itu, FMM mencadangkan tiga langkah utama di bawah pelan tindakan berkenaan, iaitu mempercepat kelulusan pembangunan CLQ dan TLQ, pemberian insentif khusus kepada majikan dan pemaju untuk membina atau menaik taraf penginapan yang sesuai, serta model perkongsian awam–swasta yang selaras dengan strategik pembangunan tempatan.

"Langkah ini penting untuk memastikan perumahan pekerja berkembang seiring dengan pertumbuhan industri di Malaysia," katanya.

Berhubung perkembangan lain, FMM juga memuji reformasi buruh yang lebih meluas oleh kerajaan, sambil merujuk kepada penurunan kadar pengangguran kepada 3.1 peratus baru-baru ini, dan peningkatan penyertaan tenaga buruh wanita kepada 56.2 peratus, sebagai tanda keberkesanan dasar yang diperkenalkan.

Soh berkata pengenalan Kad Pekerja MADANI, yang menawarkan diskaun bagi barangan dan perkhidmatan penting, ialah langkah ke hadapan dalam menyepadukan perlindungan sosial ke dalam faedah pekerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini semalam mengumumkan bahawa satu juta ahli kesatuan akan menerima diskaun hingga 30 peratus daripada lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan dan perkhidmatan penting melalui inisiatif Kad Pekerja MADANI.

Anwar berkata kad berkenaan merupakan penghargaan kepada pekerja atas usaha gigih mereka dalam menjalankan tugas dan amanah.

Soh dalam pada itu, turut menyambut baik lagu "Solidariti Perjuangan" hasil nukilan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, yang diolah semula daripada lagu asal, menyifatkan ia sebagai peringatan tepat pada masanya tentang peranan utama pekerja dalam pembinaan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan