AM > BERITA

Mufti Pulau Pinang Gesa Tindakan Tegas Terhadap Kejadian Wanita Menari Separuh Bogel Di Batu Ferringhi

16/04/2025 07:52 PM

GEORGE TOWN, 16 April (Bernama) -- Pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan tegas berhubung kejadian membabitkan beberapa wanita yang dilaporkan menari dalam keadaan separuh bogel di kawasan pelancongan di Batu Ferringhi, dekat sini baru-baru ini.

Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan imej kawasan tersebut, malah menyinggung sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia yang berpegang kepada adat ketimuran serta ajaran Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dengan penuh rasa dukacita dan keprihatinan, saya merujuk kepada laporan media berkenaan satu insiden yang berlaku di kawasan pelancongan Batu Ferringhi di mana terdapat wanita dilaporkan menari dalam keadaan separuh bogel di tempat awam.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada manakala pihak pengurusan tempat pelancongan wajar memperketat garis panduan dan pengawasan, agar insiden seperti ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan beberapa wanita menari dalam keadaan separuh bogel di atas pentas sempena pesta Songkran di Batu Ferringhi, baru-baru ini mencetuskan kemarahan warganet selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial, malah kejadian tersebut berlaku 50 meter dari sebuah masjid di situ.

Sementara itu Pengerusi Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Ferringhi Ismail Din berkata kejadian yang berlaku di tingkat atas sebuah premis makanan dan minuman telah mencetuskan pelbagai reaksi terutamanya daripada pihak kariah tersebut yang menzahirkan rasa kesal dan mengutuk sekeras-kerasnya penganjuran acara yang disifatkan sebagai tidak bermoral itu.

“… aktiviti tarian separuh bogel yang dipertontonkan secara terbuka di kawasan awam adalah satu bentuk maksiat yang tidak boleh diterima. Perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej Pantai Batu Ferringhi, malah menyinggung sensitiviti umat Islam yang tinggal di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad pula ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran acara tersebut.

“Kami tidak menerima sebarang permohonan lesen hiburan awam sementara malah bahagian pelesenan juga tidak terima permohonan atau tapisan dan tiada apa-apa permit dikeluarkan untuk program tersebut,” katanya.

Difahamkan pesta tersebut dianjurkan oleh pihak swasta pada Sabtu dan Ahad lepas bermula 4 petang hingga lewat malam bersempena sambutan Songkran dan menurut iklan pada poster penganjuran, orang ramai yang ingin menyertai acara itu perlu membeli tiket pada harga RM60 hingga RM120 seorang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan