AM > BERITA

Kerajaan Diseru Ambil Langkah Tegas Tangani Kezaliman Palestin - Mufti Pahang

07/04/2025 09:00 PM

KUANTAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Malaysia diseru untuk mengambil langkah tegas dan strategik dalam menangani isu kezaliman terhadap Palestin serta memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara Islam, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan mengusulkan resolusi melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencari penyelesaian mampan bagi konflik ini.

Mufti Pahang Prof Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata serangan terhadap rakyat Palestin bukan sahaja merupakan satu bentuk kezaliman yang melampaui batas tetapi juga pelanggaran nyata terhadap hak asasi manusia.

Beliau menegaskan tindakan kejam tersebut turut mencabul undang-undang antarabangsa seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebelum ini.

"Serangan kejam yang dilakukan oleh rejim Zionis bukan sahaja membedil kem pelarian dan penempatan rakyat Palestin yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata tetapi juga menyebabkan kemusnahan infrastruktur yang amat dahsyat.

"Tindakan tidak berperikemanusiaan ini merupakan bukti nyata bahawa Israel terus-menerus melakukan jenayah perang dan penghapusan etnik terhadap rakyat Palestin secara sistematik, yang telah disahkan oleh ICJ dalam perbicaraan Afrika Selatan lawan Israel," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Asmadi menyeru umat Islam di seluruh dunia untuk bangkit dan bersatu dalam menyatakan solidariti terhadap isu keganasan di Palestin serta tidak membiarkan mereka berjuang bersendirian.

"Marilah kita bersatu untuk menangkis penjajahan rejim Zionis Israel yang telah menyebabkan rakyat Palestin hidup dalam penderitaan selama ini. Walaupun tindakan kita sekecil mana sekalipun, ia akan memberikan impak besar terhadap perjuangan mereka.

"Kita sebagai umat Islam tidak boleh membiarkan mereka berjuang sendirian, seperti yang sering kita lihat di kaca televisyen dan dada akhbar, dengan anak-anak kecil yang begitu berani mempertahankan tanah air mereka demi kesucian bumi barakah iaitu Baitulmaqdis," katanya.

Beliau turut mengajak umat Islam untuk terus mendoakan keselamatan, kemenangan dan kesejahteraan rakyat Palestin serta keselamatan bagi semua umat Islam di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan