KUANTAN, 7 April (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah agar kerajaan negeri mengkaji dan memperkemas lagi urusan pentadbiran dengan mengurangkan birokrasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Baginda bertitah kajian itu wajar bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu ditambah baik dalam memantapkan urusan pentadbiran kerajaan Pahang supaya lebih efektif, teratur serta memudahkan rakyat antaranya berkaitan tempoh kelulusan sesuatu projek.
Al-Sultan Abdullah bertitah kelemahan dalam isu kerenah birokrasi perlu diberikan perhatian serius oleh pentadbiran kerajaan negeri kerana ia masih menjadi rungutan dalam kalangan rakyat, selain turut menzahirkan kekecewaan dengan situasi sedemikian.
“Saya perhatikan (birokrasi kerajaan negeri), perlu dikaji dan diperkemas lagi (misalnya) kalau boleh pendekkan soal kelulusan tanah dan sebagainya. (Semua) proses ini sekarang sudah ada, dah bertulis tetapi saya rasa, ini boleh dikaji dan dipercepat lagi.
“Katalah kelulusan itu boleh dibuat dalam masa 40 hari, kenapa nak buat sampai 60 hari, kenapa 80 hari? Jadi, mana kelemahan di situ? Kajilah semula. Kalau proses nak lulus buat rumah ke, kadang-kadang banyak sangat prasyaratnya (sedangkan) rumah bukanlah besar sangat, (syarat terlalu) ketat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian kepada pemberita selepas berkenan menerima menghadap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi negeri di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sultan Pahang bertitah baginda sedia maklum kerajaan negeri sentiasa melakukan penambahbaikan urusan pentadbiran, namun menzahirkan masih ada yang perlu diperkemas.
Berkenaan majlis menghadap hari ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan kepada golongan yang memegang jawatan tertinggi di negeri ini supaya berusaha sebaik mungkin untuk memajukan Pahang.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda berkenan meluangkan masa berbincang mengenai hal ehwal pentadbiran negeri serta menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang akan menamatkan perkhidmatan hari ini serta Penasihat Undang-Undang negeri Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin yang akan bertukar ke Jabatan Peguam Negara, Putrajaya bermula 17 April ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial