AM > BERITA

SIRIM Sasar 2,000 Syarikat Miliki Pensijilan ESG Tahun Ini

09/05/2025 04:12 PM

SHAH ALAM, 9 Mei (Bernama) -- SIRIM Berhad (SIRIM) menyasarkan kira-kira 2,000 syarikat memiliki pensijilan berkait Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjelang hujung tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata pensijilan berkenaan merupakan antara usaha pihaknya mempersiapkan pemain industri tempatan untuk menembusi pasaran luar negara.

“Kita sekarang ini dalam usaha untuk menggalakkan pihak industri memiliki pensijilan ESG sebelum ia menjadi satu kewajipan di masa hadapan, kerana pada 2027 implementasi ESG akan diwajibkan.

“Jadi sekarang ini kita sebenarnya menyediakan satu platform untuk industri ke arah itu dan sejak ia dilancarkan tahun lepas, kini ada 300 syarikat yang telah memiliki pensijilan ESG,” katanya kepada pemberita selepas Forum ‘Living ESG: Aspiration to Action’ di Ibu Pejabat SIRIM Berhad di sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Sabirin berkata kira-kira 10,000 syarikat dijangka memiliki pensijilan ESG oleh SIRIM menjelang 2030.  

Beliau berkata SIRIM juga komited untuk menyokong perniagaan dalam semua sektor melalui program latihan yang disesuaikan, pembangunan sumber dan penyelesaian ESG yang inovatif, di samping menyediakan rangka kerja khusus seperti SIRIM 55: Kemajuan ESG dan SIRIM 56: Kesiapsiagaan ESG, bersama-sama dengan pelaporan karbon dan inisiatif latihan.

Ahmad Sabirin berkata meskipun prinsip ESG semakin penting, kesedaran mengenainya masih terhad dalam kalangan ramai rakyat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Bagi menangani isu ini, SIRIM akan membangunkan bahan pendidikan yang lebih mudah difahami serta kajian kes yang menunjukkan bagaimana ESG boleh memberi keuntungan jangka panjang kepada perniagaan,” katanya.

Terdahulu SIRIM hari ini menganjurkan Forum ‘Living ESG: Aspiration to Action’ yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan & Pengurusan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Bahria Mohd Tamil.

Ahmad Sabirin berkata forum itu mengumpulkan peneraju industri, penggubal dasar dan perniagaan untuk memajukan agenda kelestarian Malaysia di samping meningkatkan pemahaman berkenaan melalui ceramah, bengkel dan pameran. 

Di samping itu SIRIM hari ini turut melancarkan platform ‘SIRIM Blockchain Verification’ iaitu sistem baharu yang membantu perniagaan dan individu mengesahkan sijil dan dokumen dengan lebih cepat dan selamat. 

Ahmad Sabirin berkata dengan hanya mengimbas nombor siri dokumen, pengguna boleh mengetahui sama ada dokumen tersebut sah dan diluluskan oleh badan pensijilan yang dipercayai, sekali gus mengurangkan penipuan dan meningkatkan kepercayaan dalam transaksi penting.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan