Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Mei (Bernama) -- Malaysia menggesa negara anggota ASEAN supaya mengambil tindakan berani secara kolektif untuk menutup jurang pembiayaan dalam peralihan tenaga bersih di rantau ini, sambil menekankan keperluan pelaburan berjumlah trilion dolar bagi memastikan matlamat iklim dan pembangunan tidak terjejas.
Bercakap pada forum tenaga serantau di sini pada Jumaat, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datin Sarah Al Bakri Devadason, menekankan keperluan mendesak untuk beralih daripada bahan api fosil sambil memastikan kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Akses kepada tenaga bersih, mampu milik dan boleh dipercayai bukan sekadar untuk menjana kuasa kepada kediaman atau industri. Ia juga berkait rapat dengan perlindungan alam sekitar dan hak generasi masa depan,” katanya.
Memetik Pusat Tenaga ASEAN (ACE), beliau berkata permintaan tenaga serantau dijangka meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040, dan memberi amaran bahawa kebergantungan kepada sumber konvensional boleh menjejaskan matlamat iklim.
Menurut Sarah, ASEAN telah berikrar untuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu kepada 23 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utama menjelang 2025.
Namun, beliau berkata kajian oleh Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) menganggarkan ASEAN memerlukan sekitar US$29.4 trilion menjelang 2050 untuk mencapai peralihan penuh kepada tenaga boleh baharu, dan kebanyakannya masih belum dibiayai.
Beliau turut mengetengahkan Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan (ATSF), yang dikemas kini pada Mac 2024, sebagai alat utama untuk menarik pelaburan mampan.
Taksonomi itu merupakan yang pertama di dunia yang mengklasifikasikan pembiayaan peralihan tenaga melalui kategori hijau dan ambar.
Sarah mengulangi komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh kerjasama rentas sektor dan pembiayaan inovatif dalam merancakkan transformasi tenaga yang terangkum dan mampan.
“Bersama-sama, kita boleh membina ASEAN yang bukan sahaja berdaya tahan dari segi ekonomi, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan terangkum dari sudut sosial,” katanya menutup ucapan.
Acara itu, yang dianjurkan bersama dengan ACE, dihadiri wakil negara anggota ASEAN, kor diplomatik, institusi kewangan, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial