AM > BERITA

Tupai King 'dilahirkan' Di Pulau Pinang, Kini Durian Bangsawan

07/05/2025 11:45 AM

GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Durian jenis Tupai King yang ‘dilahirkan’ di Pulau Pinang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat raja buah itu selepas ia digelar durian bangsawan kerana kualiti premium, rasa luar biasa dan aroma yang unik.

Malah, harganya juga meningkat sehingga RM130 sekilogram, sekali gus menjadikannya durian tempatan termahal ketika ini mengatasi jenis durian lain yang turut terkenal antaranya Musang King dan Duri Hitam atau ‘Black Thorn’.

Pengusaha kebun durian Eric Yeap berkata durian Tupai King dengan kulit berwarna hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

“Durian Tupai King telah ada sejak lima atau enam tahun lepas, namun mula dikenali dan dicari peminat raja buah sejak dua tahun kebelakangan ini kerana isinya berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana.

“Bukan sahaja menarik minat penggemar tempatan tetapi pembeli dari luar negara seperti Singapura dan China. Apabila mereka tahu musim durian sudah bermula, ada yang menghubungi saya bertanya mengenai durian Tupai King,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Yeap bagaimanapun berkata pengeluaran bagi durian Tupai King masih rendah berikutan kebanyakan pengusaha raja buah itu baru menanamnya termasuk beliau sendiri yang bermula sejak lima tahun lepas, dan memperoleh hasil tiga tahun kemudian.

Beliau yang mempunyai tujuh kebun durian berkeluasan 132 ekar (53.4 hektar) dengan 200 pokok durian di sekitar lereng bukit dari Teluk Bahang ke Balik Pulau berkata selain dijual untuk pasaran tempatan, durian Tupai King juga dieksport ke luar negara terutama Hong Kong kerana permintaan tinggi serta harga berlipat kali ganda.

“Sekarang ini saya ada 20 pokok durian Tupai King dan dalam perancangan untuk tambah lagi varieti itu kerana mendapat permintaan tinggi. Durian Tupai King sudah ada pelanggan setia dan rata-rata ‘hantu’ durian mengakui kombinasi rasa manis dan pahit yang tajam memberikan kenikmatan sebab itu ada pembeli dari Singapura sanggup datang terus ke kebun kami,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran durian Tupai King dijangka berskala lebih besar dan komersial tiga hingga empat tahun lagi berikutan ramai pekebun durian dari seluruh negara telah mula menanam anak pokok durian berkenaan.

Sementara itu, Yeap berkata pengeluaran durian dijangka menurun sehingga 30 peratus di kebunnya berikutan perubahan cuaca terutama hujan yang kerap akan menyebabkan bunganya gugur lebih awal.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan harga, namun ia masih berpatutan dengan kualiti durian yang ditawarkan kerana memang diketahui durian dari Pulau Pinang, terutama kawasan Balik Pulau antara yang terbaik berikutan rasa, tekstur dan aroma yang unik.

“Selalunya kami mampu mengutip sehingga satu tan durian sehari, namun tahun ini selain musimnya sedikit lambat iaitu baru bermula sekarang berbanding April, hasil buahnya berkurangan dan kami juga mengeksport 20 peratus hasil ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata terdapat pelbagai jenis durian di tujuh kebunnya termasuk jenis Kampung hingga ke Musang King, Duri Hitam dan Tupai King yang dijual bermula RM8 hingga RM130 sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan