AM > BERITA

Lebih 50 Bintang Kollywood Bakal Warnai Malam Anugerah Edison Di P. Pinang

05/05/2025 09:01 PM

Oleh R. Ratcharathan

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Lebih 50 bintang terkenal Kollywood bakal memeriahkan pentas Setia SPICE Arena di sini pada 17 Mei ini bagi mewarnai edisi ke-17 Anugerah Edison yang mengiktiraf industri perfileman India Selatan.

 Pengasas Anugerah Edison J. Selvakumar berkata artis yang akan hadir tahun ini termasuk pengarah terkenal yang kini juga berlakon SJ Suryah, bintang terkemuka era 2000-an Simran Rishi Bagga, pelakon Kushboo Sundar yang telah membintangi lebih 185 buah filem dan Priya Anand.

Beliau berkata edisi tahun ini juga akan mengiktiraf kecemerlangan dalam 50 kategori termasuk Anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik selain pengarah dan bakat-bakat kreatif lain yang menyumbang di belakang tabir industri filem Tamil.

“Kami jangka lebih 6,500 tetamu akan hadir bagi menyaksikan persembahan mengasyikkan, pertunjukan karpet merah eksklusif dan sesi khas bersama-sama dengan bintang-bintang besar dunia perfileman.

“Ini merupakan kali pertama Anugerah Edison diadakan di Pulau Pinang, selepas kali terakhir dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2017 dalam skala yang lebih kecil,” katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.

Selain kehadiran selebriti, acara akan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian, muzik dan fesyen oleh artis tempatan.

Beliau berkata acara dijadualkan bermula dari 5 petang hingga 9 malam dan akan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Tiket bermula pada harga RM99 kini dijual menerusi www.myticket.asia selain tawaran diskaun bagi menggalakkan lebih ramai peminat filem hadir menyaksikan malam anugerah itu.

Edisi ke-17 Anugerah Edison kali ini menampilkan pencalonan hebat untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik termasuk nama-nama besar Kollywood seperti Rajinikanth, Kamal Haasan, Vikram, Sivakarthikeyan dan Vijay Sethupathi. Sementara itu, Keerthy Suresh, Trisha, Nayanthara dan Tamannaah bersaing dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Anugerah Edison yang dinamakan sebagai penghormatan kepada “Bapa Sinema” Thomas Alva Edison, telah sekian lama menjadi platform berprestij untuk menghargai bakat legenda dan pendatang baharu.

Sejak penganjurannya, anugerah ini telah meraikan bintang ikonik seperti Vijay, Dhanush, Simbu dan Vikram, serta bintang yang sedang meningkat naik antaranya Sivakarthikeyan dan sensasi muzik Anirudh yang terus memikat jutaan peminat di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan