AM > BERITA

Sultan Mizan Titah Jemaah Haji Jaga Adab, Imej Baik Malaysia Di Arab Saudi

03/05/2025 10:42 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan harapan agar jemaah haji menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej negara serta hubungan baik kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Titah baginda semua jemaah haji diharap dapat mematuhi undang-undang negara itu dengan tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh mencemar nama baik jemaah haji Malaysia yang dikenali berdisiplin dan beradab.

“Beta mengambil kesempatan ini, untuk menasihatkan supaya jemaah haji mengambil berat serta menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah,” titah baginda sempena Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini malam ini.

Titah Sultan Mizan itu dibacakan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahandanya.

Baginda bertitah kesemua 142 bakal jemaah haji yang berlepas menerusi penerbangan keempat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini diminta untuk berdoa agar Terengganu terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.

“Doakan saudara kita di seluruh negara yang diuji Allah dengan musibah terus diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian yang pasti ada hikmah terbaik. Doakan juga saudara Islam kita di Palestin dan negara lain diberikan nikmat keamanan oleh Allah,” titah baginda. 

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata sebanyak 2,008 jemaah haji dari negeri itu berlepas ke Arab Saudi menerusi lapan penerbangan, dengan 495 daripadanya telah selamat tiba di Madinah. 

Sementara itu, Sazli Hafizan Zahid, 27, berkata beliau amat syukur apabila mendapat panggilan menunaikan haji bersama ibunya, Siti Hawa Ibrahim, 64. 

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata berkat usaha ibunya membuka tabungan untuknya pada 2009, membolehkannya menjejakkan kaki ke sana pada usia muda dan diberi amanah menemani orang tuanya menunaikan rukun Islam kelima itu. 

“Saya anggap ini rezeki dan hikmah Allah SWT sebab saya dari kecil sampai sekarang membesar dan sentiasa dekat dengan emak. Dulu saya sambung belajar ijazah sarjana muda, tetapi hanya untuk setahun sebab saya berhenti jaga emak yang sakit ketika itu.

“Saya juga bersyukur sebab dipermudahkan ketika buat rayuan untuk tukar ke penerbangan awal. Kalau ikutkan saya dengan emak terbang hujung bulan ini tetapi sebab isteri akan bersalin Julai ini, saya ikhtiar buat rayuan. Alhamdulillah berjaya. Insya-Allah saya sempat ada di tanah air ketika isteri melahirkan anak sulung kami nanti,” katanya.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan