AM > BERITA

Rujuk Sumber Rasmi TH Untuk Perkembangan Terkini Ibadah Haji 2025

03/05/2025 09:54 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 3 Mei (Bernama) -- Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat berkaitan ibadah haji yang disebarkan melalui media sosial, sebaliknya merujuk kepada saluran media rasmi Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Media TH Mohamad Naser Jaafar berkata langkah itu penting bagi memastikan jemaah haji menerima maklumat yang tepat dan terkini berkaitan pergerakan serta operasi haji sepanjang musim ini.

“Memandangkan terdapat pelbagai platform media sosial pada masa kini, jemaah haji serta rakyat Malaysia disarankan untuk hanya mengikuti saluran media yang diiktiraf bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.

"Ini termasuk maklumat menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media sosial rasmi TH,” katanya kepada media di Ibu Pejabat TH Makkah di sini.

Mohamad Naser memberi jaminan bahawa liputan menyeluruh dan maklumat terkini akan sentiasa disampaikan oleh TH, termasuk mengenai pergerakan jemaah, ibadah, bimbingan, logistik serta aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang musim haji ini.

Mengenai operasi liputan media bagi musim haji tahun ini, beliau berkata ia dijangka mengambil masa selama 52 hari, merangkumi keseluruhan perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci, termasuk ketika jemaah berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Beliau berkata kemuncak liputan adalah pada hari wukuf yang dijangka 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjah dan setelah selesai keseluruhan manasik atau tatacara pelaksanaan haji, tumpuan seterusnya adalah berkaitan pergerakan pulang jemaah ke tanah air.

"Ini dijangka berlaku dalam tempoh seminggu selepas ibadah kemuncak haji selesai,” katanya.

Mohamad Naser memaklumkan seramai 19 petugas media TH, termasuk 14 pengamal media selesai menunaikan ibadah umrah pertama sebaik tiba di sini setelah menempuh lapan jam perjalanan dari Madinah dan miqat di Bir Ali.

“Ada dalam kalangan kami yang menunaikan umrah buat kali pertama dan ia satu pengalaman yang sangat bermakna. Insya-Allah, operasi media akan diteruskan di Makkah dengan strategi  lebih tersusun serta memberi tumpuan kepada liputan yang menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek penting ibadah haji,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Media Sosial Sinar Harian Nur Farhana Abdul Manan tidak menyangka terpilih sebagai seorang daripada petugas media TH pada musim ini setelah 19 tahun berkhidmat dan menyifatkan peluang berkenaan sebagai hadiah ulang tahun paling bermakna dalam hidupnya.

“Berada di Tanah Suci Makkah membuatkan kami seolah-olah berada di dunia yang berbeza, penuh dengan ketenangan yang sukar digambarkan. Kali pertama saya melihat Kaabah dengan mata sendiri dan perasaan sangat terharu, kerana selama ini hanya melihatnya melalui gambar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan