AM > BERITA

Rakyat Malaysia Tiada Visa, Dinasihat Keluar Dari Makkah

29/04/2025 08:06 PM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MADINAH, 29 April (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang memegang visa umrah atau visa pelancong, dinasihatkan untuk segera meninggalkan Makkah sebelum musim haji, bagi mengelakkan daripada berhadapan tindakan tegas kerajaan Arab Saudi.

Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif berkata individu yang masih ingkar dan menunaikan haji tanpa permit yang sah, bakal berhadapan tindakan termasuk penahanan, pengusiran serta disenarai hitam selain denda sehingga RM20,000 bagi setiap individu.

“Bagi syarikat atau agensi pelancongan yang terlibat, jumlah denda boleh mencecah sehingga RM100,000, selain beberapa sekatan lain termasuk pelucutan aset dan barangan yang digunakan dalam pelanggaran tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Justeru, Roslan menyeru kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji, agar memastikan mereka memperoleh visa haji yang sah melalui saluran rasmi seperti Lembaga Tabung Haji (TH).

“Gunakanlah platform yang diiktiraf bagi tujuan pendaftaran dan pelaksanaan ibadah haji dan elakkan terlibat atau bersubahat dengan mana-mana pihak yang cuba membawa jemaah tanpa visa yang sah,” katanya.

Roslan berkata jemaah tanpa visa haji, tidak akan mempunyai akses kepada kemudahan asas yang disediakan untuk jemaah berdaftar termasuk perkhidmatan perubatan, makanan, tempat penginapan di Arafah dan Mina serta bimbingan ibadah.

Beliau berkata perkara itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh menimbulkan situasi tidak terkawal yang mengganggu jemaah lain, dan Islam mengajar umatnya untuk menghormati undang-undang dan menjaga integriti, lebih-lebih lagi dalam melaksanakan ibadah suci seperti haji.

Roslan berkata selepas hari ini, kemasukan ke Makkah hanya dibenarkan kepada pemegang visa haji yang sah sahaja dan sebarang pengeluaran visa melalui Nusuk juga dihentikan serta-merta.

“Saya juga ingin mengingatkan umat Islam di Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan sesetengah agensi pelancongan yang menjanjikan pelbagai jenis visa untuk menunaikan haji.

“Ini kerana saban tahun banyak laporan kes jemaah haji Malaysia yang terkandas di tanah air mahupun di tanah suci, tidak dapat menunaikan haji kerana tidak mempunyai visa haji yang sah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan