KOTA TINGGI, 1 Mei (Bernama) -- Sebuah tapak pelupusan sampah di Batu Ampat, di sini yang berkeluasan kira-kira 4.2 hektar dan berhampiran Kampung Desa Makmur didakwa menyebabkan pencemaran bau serta menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk akibat kehadiran lalat.
Wakil penduduk Juffri Juraimee, 73, berkata pencemaran itu telah menjejaskan lebih 10 kampung sekitar membabitkan kira-kira 5,000 penduduk selain mereka dan pengguna jalan raya lain bimbang terhadap keselamatan berikutan banyak lori sampah berulang-alik ke tapak pelupusan itu hampir setiap hari.
Juffri mendakwa tapak pelupusan yang mengumpulkan sampah dari luar daerah itu dipercayai tidak diluluskan atau diwartakan oleh kerajaan negeri.
“Kita menggesa agar pihak kerajaan dapat membantu, sama ada menutup atau memindahkan tapak pelupusan yang beroperasi lebih 20 tahun ini ke tempat lain, penduduk tidak boleh tahan lagi,” katanya pada sidang media di tapak pelupusan itu yang dihadiri lebih 50 penduduk mengadakan himpunan aman hari ini.
Juffri berkata penduduk juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini.
Sementara itu, Hassan Sani, 44, yang menetap di kampung itu sejak 15 tahun lepas berkata ada penduduk yang telah berpindah kerana tidak tahan dengan pencemaran bau.
Penduduk katanya terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa akibat bau yang kuat dan kehadiran lalat.
“Penduduk selama ini terpaksa bersabar, sampai hari ini kami rasa perlu adakan himpunan aman,” kata pesara tentera itu.
Suhaila Banian, 46, pula berkata kehadiran banyak lori sampah menimbulkan kerisauan terutama ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah.
“Lori parkir di bahu jalan kiri dan kanan menunggu giliran untuk memasuki tapak pelupusan itu. Sangat bahaya sebab lori-lori turut menghalang pemandangan kami untuk memasuki susur masuk kampung,” katanya yang menetap di kampung itu sejak 19 tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial