AM > BERITA

RM46 Juta Diperuntuk Baik Pulih Kediaman, Infrastruktur Awam Terjejas Di Putra Heights

30/04/2025 11:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Sejumlah RM46 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman penduduk dan infrastruktur awam yang terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lepas, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan RM40 juta menerusi Tabung Amanah Bencana Negara yang ditubuhkan kementerian bertujuan mengumpulkan dana bagi membantu mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana.

Nga berkata RM6 juta lagi diperuntukkan Kerajaan MADANI bagi kerja-kerja pemulihan infrastruktur awam melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Jabatan Landskap Negara (JLN).

“Sebagai pemaju asal Taman Putra Harmoni, Sime Darby Property merupakan pihak paling sesuai untuk membantu dalam pembinaan semula kediaman berdasarkan pelan asal unit rumah.

“Selaras dengan ini, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembinaan semula di Kampung Kuala Sungai Baru,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Nga berkata kedua-dua pihak akan diberikan kebenaran untuk memasuki tapak berkenaan dan memulakan kerja-kerja baik pulih esok dengan proses pemulihan akan bermula di unit kediaman yang terletak dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian.

Beliau berkata tempoh keseluruhan yang diperuntukkan untuk menyiapkan sepenuhnya kerja-kerja pembinaan semula ialah 24 bulan.

Nga berkata pembahagian dana bagi kerja-kerja itu dibuat mengikut kategori kerosakan rumah iaitu kediaman yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, kos siling ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit.

Bagi kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, beliau berkata kos ditetapkan adalah RM150,000 manakala kos siling RM30,000 diberikan kepada rumah-rumah yang terjejas kurang daripada 40 peratus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk kerajaan Selangor, Petronas, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Sime Darby Property dalam usaha mencari jalan bagi membina semula rumah-rumah bagi mangsa kejadian Putra Heights.

“Kami berharap langkah diambil ini dapat memberi kelegaan dan harapan baharu kepada semua yang terjejas. Usaha pemulihan ini adalah manifestasi komitmen kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Terdahulu pada sidang media berasingan, Amirudin berkata kerajaan negeri menyedari kebimbangan penduduk sekiranya kerja baik pulih rumah mengambil masa melebihi enam bulan.

Beliau berkata dalam hal itu, kerajaan negeri sedia membantu menyediakan bantuan sewa rumah tambahan kepada mereka yang berkenaan berdasarkan data atau maklum balas daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan SPNB.

“Selepas kita dapat maklum balas daripada pihak berwajib tentang keperluan proses baik pulih lebih dari enam bulan, kerajaan negeri akan tambah wang sewa kepada ketua isi rumah yang terlibat.

“Maknanya, jika sambung lagi tinggal di rumah sewa hingga lapan bulan atau setahun, kerajaan negeri juga sedia bantu bayaran sewa rumah sebanyak RM2,000 sebulan,” katanya.

Amirudin berkata pada masa ini kerajaan negeri menetapkan bayaran bantuan sewa rumah kepada enam bulan kerana yakin selepas tempoh itu, sebahagian besar mangsa sudah boleh pulang ke rumah masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan