AM > BERITA

Lebih 150 Mangsa Kebakaran Saluran Paip Gas Putra Heights Terima Bantuan Bayaran Sewa Rumah

29/04/2025 02:12 PM

BANTING, 29 April (Bernama) -- Kerajaan Selangor telah menyalurkan bantuan bayaran sewa rumah selama tiga bulan kepada lebih 150 keluarga mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata jumlah penerima bantuan setakat semalam dijangka terus meningkat, seiring mangsa melepasi proses siasatan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu disalurkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara pemindahan terus ke akaun bank mangsa yang terlibat.

“Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, mengarahkan agar bantuan tiga bulan pertama dimasukkan terus ke akaun penerima, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Krematorium Moden Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah terlibat dalam insiden itu layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan, dengan kadar RM2,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Borhan berkata kerajaan negeri masih meneliti bentuk bantuan bersesuaian untuk pembinaan semula rumah mangsa yang terjejas.

“Perkara ini sedang dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan. Menteri Besar akan mengumumkan perinciannya nanti kerana terdapat beberapa kategori kerosakan yang perlu dikenal pasti, sama ada musnah sepenuhnya atau kerosakan kecil,” katanya.

Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 rumah lagi mengalami kerosakan separa, 57 rumah terkesan tanpa terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Dalam perkembangan berasingan, Ng memaklumkan pembinaan krematorium moden di Kampung Sungai Buaya dijangka bermula hujung tahun ini dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan, dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM5 juta.

Beliau berkata projek atas tanah seluas 0.404 hektar (satu ekar) itu akan dilengkapi tiga unit tempat pembakaran berteknologi moden yang menitikberatkan kecekapan operasi, keselamatan pengguna dan pemeliharaan alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan