AM > BERITA

Kebakaran Putra Heights : Berita Baik Untuk Mangsa Minggu Ini - Nga

29/04/2025 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengumumkan berita baik berkenaan pelan pemulihan melibatkan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang yang berlaku awal April, pada minggu ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata perkara itu akan diumumkan bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari. Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan perkara itu dengan lebih terperinci.

“Saya dan Menteri Besar Selangor akan membuat pengumuman untuk membawa berita baik, pelan pemulihan terbaik dan tidak pernah dilakukan kepada mangsa kebakaran dalam sejarah negara kita.  

“Kita akan buat pengumuman minggu ini juga dan saya harap bersabar, sedikit masa saja lagi. Nantikan berita baik yang akan disampaikan,” katanya kepada media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik Mukim Batu di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar.

Pada perkembangan lain, Nga berkata Kerajaan MADANI mengalu-alukan semua pihak untuk membantu kerajaan mencapai sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik menjelang akhir tahun ini.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan 95 peratus atau sebanyak 468,000 unit rumah itu telah disiapkan termasuk yang mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Terdahulu, Nga dalam ucapan aluan pada majlis itu berkata Perdana Menteri akan melancarkan projek rumah mampu milik terbesar dalam negara di Pulau Pinang pada Jun ini, melibatkan sebanyak 38,000 unit rumah manakala 13,000 unit kediaman lagi akan ditawarkan pada pelancaran Bandar MADANI Malaysia.

“Sebelum ini, kita ada sembilan orang Perdana Menteri yang mempunyai rancangan hendak membuat rumah mampu milik tapi tiada seorang berjaya mencapai sasaran.

“Tetapi petang ini, saya hendak beritahu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan MADANI tetapkan sasaran nak membina 500,000 unit rumah mampu milik dan sehingga kini telah mencapai 95 peratus.

“Di bawah konsep MADANI, Perdana Menteri selalu menekankan kita kena bersikap ihsan dan kita berikan harapan kepada rakyat dengan kepimpinan Perdana Menteri yang merangkumi projek berpusatkan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan